Liow Tiong Lai

BENTONG – Pengundi Bentong kecewa dengan Pakatan Harapan (PH) yang hanya pandai menabur janji dan tiada perkhidmatan yang baik diberikan kepada penduduk sejak mengambil alih parlimen tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai berkata, lebih menyedihkan lagi apabila semua rancangan pembangunan di kawasan ini juga terencat.

”Kawasan Parlimen Bentong pada empat tahun lalu telah ditawan PH dan kita rasa sedih kerana sepanjang tempoh itu, mereka tidak menjalankan tugas dengan baik menyebabkan ekonomi di sini terencat, pembangunan terbantut.

”Dan apabila tidak ada perkhidmatan sewajarnya diberikan kepada rakyat, rakyat berasa susah dan saya amat kecewa dengan keadaan seperti ini ditambah pula dengan masalah Covid-19, banjir dan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya ketika ditemui melawat penduduk di Kampung Sungai Penjuring di Dewan Undang Negeri (DUN) Bilut.

Tiong Lai merupakan bekas Ahli Parlimen Bentong dan juga pernah menjawat jawatan menteri Kabinet.

Menurutnya, sepanjang empat penggal menjadi ahli Parlimen Bentong, pelbagai kemudahan dan pembangunan disediakan buat penduduk di situ seperti pengangkutan bas, peluang pekerjaan, premis peniagaan dan pelbagai lagi.

Namun apabila kerusi parlimen itu dirampas PH pada PRU yang lalu, Bentong umpama ‘hidup segan mati tak mahu’ kerana banyak perancangan telah dibatalkan dan kebajikan rakyat tidak terbela sepenuhnya.

“Dulu saya memberi tumpuan kepada perkhidmatan untuk kegunaan orang ramai bukan sahaja bas, kita ada landasan kereta api dan kita juga akan pastikan tiada kesesakan lalu lintas berlaku di Pekan Bentong.

“Kita pastikan penduduk luar seperti di kampung dapat perkhidamatan bas yang cukup baik untuk mereka ke pekan. Ini semua perancangan kita sejak dulu lagi tapi ia terbantut serta terencat apabila PH ambil alih.

“Banyak projek yang kita rancang dahulu, sebelum 2018 telah dibatalkan PH. Itu saya rasa susah hati dan kita cukup kecewa,” ujarnya.

Tambah Tiong Lai, disebabkan masalah-masalah tersebut penduduk Bentong masih memanggilnya untuk turun padang bagi membantu mereka.

Atas kehendak penduduk Bentong, Tiong Lai berkata, beliau kembali sekali lagi ke parlimen itu untuk menghidupkan semula pembangunan yang sekian lama tertangguh.

Mengulas mengenai manifesto pada PRU15 ini, beliau yang juga bekas Presiden MCA berkata, kestabilan dan kemakmuran penduduk menjadi fokus utama Parlimen Bentong.

“Pilihan raya ini merupakan satu pilihan raya yang cukup penting untuk negara kita memastikannya kita mencapai kestabilan kerajaan. Sudah tiba masanya penduduk Bentong membuat penilaian sendiri.

“Bandingkanlah prestasi dulu dengan yang ada sekarang kerana rakyat jelas boleh buat perbandingan ini,” pesan beliau.

Cuma harapan Tiong Lai, rakyat Bentong pilihlah kerajaan yang betul dan kukuh serta mampu membangunkan ekonomi negara.

Kerusi Parlimen Bentong menyaksikan saingan lima penjuru, antara calon Barisan Nasional (BN) dan calon Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman.

Selain itu, kerusi ini turut menampilkan penyandang, Wong Tack yang bertanding calon bebas, Datuk Roslan Hassan mewakili Perikatan Nasional (PN) dan seorang lagi calon bebas, Achik Khalil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast