UCHONG — Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader akan mengutamakan solusi masalah banjir yang sering melanda Kampung Tengah sekiranya diberi mandat untuk menduduki kerusi di sini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, pelbagai keluhan didengari daripada penduduk yang sudah penat dan terpaksa berhabis ratusan wang selepas banjir menenggelam kediaman mereka.
“Kalau dipilih nanti, saya akan utamakan isu banjir ini kerana ia merupakan masalah yang berulang dan kerap berlaku. Kita cuba cari jalan penyelesaian kepada masalah ini, apa yang kita kena buat dan elakkan supaya perkara sama tidak terus berlaku pada masa akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Ceramah Pilihan Raya di Puchong River View, Batu 13, di sini, malam tadi.
Selepas dilanda banjir besar pada Disember 2021 yang menenggelamkan banyak rumah, penduduk Kampung Tengah sekali lagi berhadapan dengan musibah sama pada bulan Mac lalu.
Dalam perkembangan sama Syed Ibrahim berkata, masalah kekangan fasiliti yang dihadapi oleh para peniaga di Pasar Pagi Batu 14 juga akan menjadi tumpuan utama.
Katanya, peniaga di kawasan berkenaan dipindahkan ke tapak sementara itu sejak tahun 2008 dan sehingga kini masih tidak berjaya untuk mendapatkan tapak kekal.
Syed Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Dewan Negara selama dua penggal itu bakal berdepan saingan empat penjuru menentang Yeo Bee Yin (PH), Kuan Chee Heng (bebas) dan Chew Jyh Gang (PN).
Sementara itu bercakap mengenai peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum lalu, beliau berkata ia adalah berdasarkan fitnah dan tohmahan yang dilontarkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN.
Syed Ibrahimberkata, cemuhan yang dilemparkan itu telah memberi satu tanggapan yang salah kepada pengundi-pengundi yang kemudian dimanipulasi untuk mahukan pertukaran kerajaan.
“Kita tak boleh ambil PRU14 sebagai satu PRU yang boleh dibanding-bandingkan. Banyak fitnah-fitnah yang dilontarkan terhadap Najib dan BN”
“Ini memberikan satu tanggapan yang salah kepada pengundi-pengundi yang kemudian memikirkan untuk memberi peluang bagi peralihan kuasa kepada Pakatan Harapan (PH)” katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) menyifatkan manifesto PH sebagai sebuah dokumen yang sangat licik, dan manipulatif kerana berupaya menjerat pengundi.
“Manifesto mereka (PH) itu memang berupaya menarik pengundi seperti memansuhkan bayaran balik pinjaman PTPTN. Kalau budak-budak universiti nampak memang mereka akan suka. Antara lainnya termasuk pemansuhan tol, harga petrol RM1.50 seliter.
”Macam-macam janji dilontarkan berjaya menarik undi tapi tak ditunaikan” dakwanya.
Namun menurut Syed Ibrahim, sepanjang dua hari berkempen, pengundi mula menunjukkan penerimaan positif berbanding pada tahun 2018.
“Mereka rasa kecewa pilih parti yang salah untuk mentadbir, dua hari saya bertemu mereka rata-rata berkongsi perkara yang sama”
“Malah sewaktu saya menyantuni pengundi di Pasar Pagi Batu 14, ada juga yang meluahkan tidak pernah jumpa ahli parlimen selepas dia menang dalam pilihan raya lalu”
“Rakyat sekarang ni lebih arif dan matang, dah tak boleh diperbodohkan. Mereka dah belajar dari kesilapan lalu” katanya lagi.
Mengulas lanjut kata Syed Ibrahim, sebelum berjanji beliau akan memastikan terlebih dahulu sama ada janji-janjinya boleh diselesaikan atau tidak.
Ini kerana katanya, apabila sekali seseorang itu tidak menunaikan janji, orang takkan mudah percaya dah beri peluang kedua. -MalaysiaGazette.