KUALA SELANGOR – Kurang 72 jam selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, kini timbul pelbagai dakwaan kononnya berlaku pelanggaran Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957.
Pemasangan bahan kempen sebelum hari penamaan dan had perbelanjaan untuk membiayai kempen politik melebihi RM200,000 antara kesalahan yang didakwa dilakukan seorang calon berstatus menteri di kerusi P096 Kuala Selangor.
Calon Pejuang Parlimen Kuala Selangor, Shaid Rosli mendakwa, pesaing terbabit menganjurkan jamuan makan kepada orang awam sedangkan perbuatan itu dilarang sepanjang tempoh berkempen.
“Parti-parti ini telah melanggar proses berkempen, sepatutnya apabila nama diumumkan calon, maka barulah boleh pasang bahan kempen.
“Kesalahan ini dilakukan semua parti kecuali Pejuang yang tidak menaikkan apa-apa bendera dan bahan kempen sehingga muktamad proses penamaan calon pada Sabtu lalu.
“Peraturan juga telah mengatakan tidak boleh mengadakan sebarang bentuk jamuan makan kepada orang awam, tetapi semalam saya tengok dalam jadual calon itu sendiri ada majlis makan malam dengan veteran,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di Bandar Baru Puncak Alam, semalam.
Shaid yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram melahirkan rasa kesal apabila pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seolah-olah tidak nampak pelanggaran peraturan yang dilakukan calon daripada kerajaan itu.
“Ini adalah salah guna kuasa, perkara ini kena tengok balik, dari awal lagi sudah tidak ikut peraturan, jadi SPR atau majlis tidak mengambil apa-apa tindakan.
“Saya nak tanya berapakah yang dibelanjakan BN di Kuala Selangor. Rata-rata nampak, kalau kita kira satu bendera 10 sen pun, kita sudah tahu (kos), apatah lagi benda-benda yang diberikan,” katanya.
Menurutnya, SPR dilihat tidak berani untuk mengambil tindakan mahupun membuat teguran ke atas calon parti pemerintah itu.
“Benda ini salah, saya tak pasti siapa yang perlu mengambil tindakan, adakah SPR tengah tidur tak nampak atau SPR disogok sehingga mereka tidak berani untuk mengambil sebarang tindakan ataupun teguran.
“Setiap kali cara kempennya mengadakan jamuan besar-besaran. Bila sudah kempen, sepatutnya tak boleh guna nama kementerian lagi, tetapi masih lagi.
“Mana datangnya duit perbelanjaan banyak itu untuk menyediakan jamuan berterusan, memberikan pelbagai hadiah, motorsikal, semuanya dapat hadiah yang mewah-mewah.
“Ini satu perbelanjaan yang besar, jadi di mana kerajaan atau SPR yang bertanggungjawab dalam isu-isu ini, jadi saya tak nampak,” dakwanya.
Tambahnya, jika SPR tidak mampu lagi untuk menguruskan pilihan raya kali ini, lebih tugas itu diserahkan kepada agensi kerajaan yang lebih berani menguatkuasakan undang-undang.
“Kalau tak mampu menguruskan pilihan raya dengan cara yang betul, maka mereka ini tak diperlukan lagi, kena tukar dengan jabatan-jabatan yang berani untuk mengendalikan benda-benda ini.
“Benda ini amat mengecewakan dan tak tahu berapa banyak duit telah digunakan untuk membawa kumpulan anak muda. Saya dimaklumkan, anak-anak muda yang datang dengan motosikal diberikan sebanyak RM200 setiap seorang.
“Itu satu bentuk rasuah, dimaklumkan anak-anak muda ini akan diberi RM200 setelah memangkah, letak kad pengenalan dan ambil gambar. Kemudian pergi tuntut RM200. Jadi suatu perbuatan yang menjijikkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette