Azli menyantuni warga Shah Alam dan berjanji akan menyelesaikan kos sara hidup yang mencengkam rakyat.

SHAH ALAM – Empat isu menjadi fokus utama calon Pakatan harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Beliau akan bekerja keras untuk memastikan isu banjir, kesesakan lalu lintas, pembangunan tidak seimbang dan kos sara hidup dapat diselesaikan sebaik dinobat sebagai Ahli Parlimen pada 20 November ini.

Ketika ditemui pada program kempen di sekitar sini, hari ini, bekas Setiausaha Politik kepada Khalid Abd. Samad ketika menyandang Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, walaupun muka baharu, tetapi beliau bukan asing dengan rakyat Shah Alam.

“Memang saya muka baharu, tapi saya tidak asing di Shah Alam. Lebih 30 tahun saya tinggal di sini dan sudah sebati dengan persekitaran dan keperluan warganya.

“Pemilihan saya sebagai calon bagi kerusi ini cukup penting dan besar bagi saya serta amanah ini InsyaAllah akan saya pikul sebaiknya. Saya perlukan kemenangan untuk jadikan isu yang saya bangkitkan ini sebagai realiti.

Azli berkata, beliau akan gunakan kepakarannya sebagai jurutera dan Ahli Majlis Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat kawasan itu.

Jelasnya, sepanjang turun padang empat hari selepas hari penamaan calon Sabtu lalu, beliau mendapati setiap permasalahan dihadapi warga Shah Alam ialah kos sara hidup yang sangat dirasai oleh golongan B40 dan M40.

Selain itu, katanya, isu banjir yang sering berulang juga masih membelenggu kehidupan rakyat kerana bencana itu boleh berlaku bila bila masa jika tidak diatasi.

“Selepas mendengar aduan dan rungutan warga juga saya memasukkan isu kesesakan lalu lintas, khususnya yang berlaku di persimpangan TTDI Jaya, di samping isu pembangunan yang tidak seimbang.

“Kepada warga Shah Alam, kemukakanlah apa juga permasalahan dan cadangan kepada saya, saya akan usahakan dan angkat semuanya ini agar ada jalan penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette