Imran Mohd. Yusof.

PARIT BUNTAR – Sudah sampai masanya untuk penduduk Parlimen Parit Buntar memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) menjadi wakil mereka selepas kawasan itu dipegang oleh Datuk Seri Dr. Muhajid Yusof Rawa selama tiga penggal.

Calon BN Parlimen Parit Buntar Imran Mohd. Yusof berkata, penduduk perlu memberi peluang kepada parti yang telah mentadbir negara lebih 60 tahun untuk membawa pembaharuan dan pembangunan di kawasan tersebut.

Imran yang berpengalaman sebagai guru selama 22 tahun di Sekolah Kebangsaan Methodist Parit Buntar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang berkata, banyak pembaharuan yang ingin dilakukannya di kawasan itu.

“Di Parit Buntar calon PH Datuk Seri Mujahid sudah tiga penggal berada di sini. Untuk perubahan baru pengundi di Parit Buntar perlu beri peluang kepada calon BN.

“Kerana calon BN, saya, calon DUN Titi Serong Shahrul Nizam Razali dan DUN Kuala Kurau Mohd. Jamil Jahaya adalah satu pasukan.

“Pastinya kami akan beri kerjasama yang baik berdasarkan satu parti dan bukannya campuran parti. Jadi bila satu parti kita dapat membantu masyarakat dengan lebih baik supaya menjadi lebih maju,” katanya.

Imran Mohd. Yusof meninjau permasalahan penduduk di Parlimen Parit Buntar.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah dan berusia 47 tahun itu berkata, dua perkara akan diberi tumpuan sekiranya beliau dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum yang berlangsung pada 20 November ini.

Beliau ingin meningkatkan taraf hidup petani dan membantu nelayan yang sebelum ini nasib mereka terabai.

Kedua-dua kumpulan ini adalah kelompok teramai di Parlimen Parit Buntar.

“Nelayan pantai dan petani ini masih lagi dalam golongan B40. Kalau kita dapat bantu mereka akan dapat bina sebuah keluarga yang bahagia dan kebajikan anak-anak akan mereka jaga.

“Kepada petani dari sudut subsidi dan pembekalan baja kita kena bantu. Manakala nelayan kita boleh bantu dari sudut kebajikan,” katanya yang ditemui ketika melakukan ziarah kasih di sekitar Kampung Kuala Bagan Tiang.

Imran akan berhadapan pertandingan empat penjuru. Selain penyandang kerusi itu Muhajid (PH) beliau akan ditentang oleh Mohd Misbahul Munir Masduki (PN) dan Rohijas Md Sharif (Pejuang).

Pada PRU14 Mujahid menang dengan undi sebanyak 16,753 dan memperoleh majoriti 3,098 undi.

Parlimen Parit Buntar mempunyai 68,502 pengundi berdaftar.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast