POKOK ASSAM – Seorang pengundi Taiping agak beremosi apabila diminta menyampaikan harapannya kepada bakal wakil rakyat kawasan itu.
Warga emas, Lee Kon Yin berkata, beliau berharap sesiapa sahaja dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu membantunya mendapatkan sebuah kerusi roda.
“Harapan saya satu sahaja. Sudah lima tahun saya minta, tidak ada sesiapa pun peduli.
“Tolong saya berikan satu kerusi roda yang elok, yang saya pakai ini sudah lama, sudah koyak tunggu masa untuk langsung tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazzete di pasar Plaza Perbandaran, di sini, hari ini.
Kon Yin yang hidup sebatang kara berkata, beliau bekerja di pasar sebagai penjaga gerai dengan gaji tidak sampai RM30 sehari untuk menyara hidupnya.
Jelasnya, walaupun beliau mendapat bantuan daripada kerajaan, hidupnya masih susah dan berharap bantuan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dinaikkan.
Sementara itu, peniaga di pasar pagi, Yap Soon Peng wakil rakyat yang dipilih memberi bantuan tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Kita juga harap kalau ekonomi dapat distabilkan supaya kehidupan kita lebih baik selepas ini,” ujarnya.
Bagi Walsh Anak Nicholas yang berasal dari Sarawak berharap peningkatan harga makanan dapat ditangani dengan segera.
“Semuanya mahal tapi kos sara hidup sama sahaja sampai hari ini, saya mohon supaya kerajaan selesaikan isu itu dengan cepat kerana kami terutamanya yang berkeluarga ini sengsara,” katanya. – MalaysiaGazette