BERA – Pas selalu diperalatkan oleh Parti Pribumi Bangsa Bersatu (Bersatu) dan masih belum serik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bersatu menggunakan Pas kerana mereka tidak ada jentera dan akar umbi untuk berkempen.
“Pas diperalatkan Bersatu. Saya seru pengundi Pas apabila calon mereka tak bertanding, elok beri kepada calon BN.
“Yang untung Bersatulah dalam isu ini, PN (Perikatan Nasional) dalam ini lebih untungkan Bersatu. Kalau lihat di Bera, Bersatu tidak ada jentera dan bilik gerakan.
“Kebanyakan ahli Pas lebih ramai dari Bersatu bukan sahaja di Bera malah di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kenduri Rakyat Bohor Baru hari ini.
Pas, kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera yang juga Perdana Menteri tidak pernah belajar dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor di mana mereka ditipu oleh Bersatu.
Pada PRN Melaka di mana parti itu gagal memenangi satu kerusi pun.
Terdahulu Ismail Sabri juga mengatakan satu undi kepada Pakatan Harapan (PH) pula bermakna satu undi kepada DAP.
Dalam kerajaan PH selama 22 bulan, jelas DAP mendominasi kerajaan kerana kerusi mereka paling banyak. – MalaysiaGazette