Khairudin Abu Hanipah

BOTA – Barisan Nasional Perak akan mengusahakan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar dapat direalisaskan sekiranya dipilih sebagai Kerajaan Negeri semula.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairudin  Abu Hanipah berkata, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah pun memulakan inisiatif supaya projek tersebut dapat dijayakan semula.

“Saya selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri saya mengikuti rapat berkaitan isu yang cukup besar di Bota di Seri Iskandar. Rakyat cukup teruja dengan apa yang ditawarkan.

“Tapi oleh kerana rakusnya tangan-tangan jahat dalam kalangan sahabat-sahabat kita di sebelah sana akhirnya menangguhkan perkara ini.

“Saya ingin beritahu Menteri Besar dan pasukannya akan  realisasikan semula. Ada berapa jalan sedang diikhtiarkan tetapi tidak mudah kerana ia perlu melalui banyak proses dari segi perundangan dan sebagainya, tapi usaha itu sedang berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau ditemui ketika berkempen di sini hari ini. Turut hadir calon Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria.

Menurut Khairudin yang mempertahankan DUN Bota, projek itu terganggu kerana terdapat ‘pihak yang rakus’ apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Menurutnya, pemimpin parti lawan menuduh BN dan UMNO tidak bersih namun gangguan terhadap projek yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu membuktikan sebaliknya.

“Bersih sangatkah PN, bersih sangatkah PH, suci sangatkah mereka. Dalam kawasan kita ini pun kalau kita tanya soal tanah airport projek di Seri Iskandar yang diumumkan Najib dulu pun kita tahu ada jawapan.

“Jadi jangan nak tunding jari pada orang, tunding pada orang juga seolah-olah menunding pada diri sendiri penuh kudis dan kekotoran di bawah dan mereka sendiri,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Saarani yang juga calon DUN Kota Tampan sebelum itu dilaporkan berkata, urusan penjualan tanah di Seri Iskandar dilakukan kerajaan negeri terdahulu ketika di bawah pentadbiran PH.

Tanah berkenaan diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ketika pentadbiran BN untuk tujuan membina lapangan terbang baharu.

Bagaimanapun apabila bertukar kerajaan kepada PH tanah itu dijual kepada sebuah syarikat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast