KUALA LUMPUR – Perak FC mengumumkan kehadiran penjaga gol, Bryan See dari Melaka United dalam usaha memperkuatkan benteng terakhir pasukan itu bagi menghadapi Liga Super musim 2023.
Ia merupakan kepulangan semula Bryan ke Ipoh kerana beliau sebelum ini pernah bersama skuad Piala Presiden Perak dan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC).
Kehadiran pemain itu diumumkan menerusi video pengenalan di laman sosial rasmi pasukan.
“Saya gembira dapat bersama lagi dengan Perak dan saya nampak pemilik baharu [XOX] mempunyai visi dan misi mereka yang tersendiri. Jadi, ini merupakan satu perancangan yang bagus,” kata Bryan.
Selain bersama PKNP FC dan Melaka United, pemain berusia 29 tahun itu juga pernah mengemudi gawang PDRM dan Penang serta pernah berkelana ke Thailand untuk beraksi dengan Bangkok FC.
Bersama Perak, Bryan sudah pasti menggalas tanggungjawab lebih besar kerana pengalamannya akan ditagih untuk membimbing barisan pemain muda untuk menghadapi saingan besar seperti Liga Super.
Bryan juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di University Of California (UCI).
Dia menjadi pemain ketiga yang diperkenalkan sebagai rekrut baharu Perak selepas Harith Naem Jaineh (Melaka United) dan Ilham Aqil dari UiTM FC. – MalaysiaGazette