Isham memberi kata-kata semangat kepada adik Rafhique yang mengidap penyakit tulang belakang kronik dan terlantar di katil.

SHAH ALAM – Seorang ibu tunggal tidak mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak untuk kesihatan anaknya, tetapi meminta berlaku perubahan pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-15, 19 November ini.

Marina Mukhtar, 44, yang menjaga anaknya, Rafhique Sani, 11, yang terlantar menderita sakit tulang belakang kronik berkata, beliau sekeluarga sentiasa mengharapkan pemerintah Selangor adalah sebuah kerajaan yang stabil dan makmur.

Katanya, Rafhique bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, dekat sini, disahkan menghidap penyakit itu oleh doktor ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 tahun lalu.

“Ketika usia sembilan tahun anak saya pernah dimasukkan wad, tetapi doktor tidak dapat mengesan jenis penyakitnya, sehingga dia dibawa pulang dan keadaannya lebih teruk setahun lalu.

“Sekarang ini dia terlantar di atas katil dengan memakai alat penyokong badan bagi membolehkan dia duduk dan bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Marina menceritakan kepada Isham mengenai penyakit anaknya dan kehidupannya selepas kematian suami di rumaahnya di Padang Jawa, Shah Alam.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Shah Alam, Isham Jalil meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarah adik Rafhique dan memberi kata-kata semangat kepada anak bongsu daripada empat beradik itu, di samping mendoakannya cepat sembuh.

Isham yang padat dengan aktiviti bertemu rakyat sempat mencatat beberapa maklumat daripada Marina mengenai masalah dihadapi anaknya, selain bertanyakan kehidupannya dalam menjaga dua lagi anak selepas kematian suami, Allahyarham Sani Bajuri tahun lalu.

Ditanya, adakah beliau mendapat bantuan daripada mana-mana pihak, Marina memberitahu, setakat ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada memberikan bantuan bulanan untuk meringankan beban Rafhique.

Katanya, selain bantuan berbentuk wang tunai, LZS juga turut menyalurkan bekalan susu khas untuk diminum Rafhique bagi memastikan pemakanannya seimbang dan tidak mengganggu kesihatan.

Selain itu, beliau juga ada membuat makanan untuk dijual oleh adik iparnya yang bekerja di hospital.

“Dapatlah dalam RM400 hingga RM500 sebulan hasil jualan itu, tetapi ada kalanya dapat RM300 sebulan,” katanya.

Namun, dalam menjalani kehidupan yang serba sederhana itu, dengan menyewa rumah RM500 sebulan, Marina tidak pernah meminta-minta daripada jiran atau ahli keluarga.

“Saya tak mahu meminta, saya boleh usaha sara hidup selagi ada tenaga, tetapi kalau ada insan yang prihatin hendak menghulurkan bantuan, saya terima dan ucapkan terima kasih.

Beliau juga memaklumkan, beberapa bulan lalu ada kakitangan dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) datang ke rumahnya.

Kepada orang ramai yang simpati dengan nasib adik Rafhique dan ibunya, Marina boleh menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk dan sekiranya berupa wang, boleh salur melalui akaun Bank Islam 012234020008817. – MalaysiaGazette