MARAN – Pengundi di Pahang dinasihatkan tidak terpedaya dengan janji-janji palsu pembangkang ketika berkempen, sebaliknya mereka diminta melihat usaha kerajaan negeri membangunkan negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri secara konsisten telah membangunkan Pahang sepanjang tempoh lalu, iaitu 54 bulan.
“Pesanan saya jangan dengar hasutan dan janji-janji palsu, kita di Pahang tiada janji tapi lihat bukti, kita dah buktikan apa yang kita buat kepada rakyat Pahang.
“(Selama) 54 bulan saya fikir sudah banyak kita buat, dari segi kebajikan, peningkatan hasil, mengurangkan hutang dan banyak lagi perkara lain termasuk meminimumkan masalah banjir di Pahang,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pembangkang dalam ‘Tawaran Harapan’ kepada mangsa banjir yang akan mendapat bantuan sehingga RM50,000 bagi setiap rumah yang terkesan di negeri ini.
Ia susualan kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dari DAP yang bertekad untuk membela mangsa banjir di kawasan itu sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Menurut Wan Rosdy, DAP hanya suka menabur janji, seperti mahu menghapuskan tol dan mengurangkan harga minyak pada pilihan raya lalu, namun apa yang dijanjikannya itu tidak ditunaikan.
Tambah beliau, parti pembangkang itu turut menabur janji pada PRU15 dan tidak sewajarnya pengundi ditipu untuk kali kedua. _ MalaysiaGazette