BAYAN BARU – Penduduk setempat mula terima kehadiran calon daripada MCA berbanding sebelum ini.
Itu gambaran jelas yang dilihat penulis ketika calon Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung menyantuni penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Lebih teruja, penduduk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama itu tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra serta bergambar dengan calon muda tersebut.
Menurut Yee Fung, penerimaan rakyat setempat amat menggalakan berdasarkan hasilnya turun padang mendekati penduduk sejak enam bulan lalu.
“Bagaimanapun, indikator ini tidak boleh dijadikan ukuran semata-mata sebaliknya saya perlu menyakinkan rakyat bahawa Barisan Nasional mampu membawa kerajaan yang stabil dan makmur.
“Kalau kita lihat sekarang ini rakyat berfikiran terbuka, mereka mula menerima kehadiran kami selain meluangkan sedikit masa mendengar apa yang ingin disampaikan,” katanya.
Terdahulu, Yee Fung menyantuni penduduk sekitar Permatang Damar Laut di sini, selain mendengari rintihan yang menghantui penduduk di kawasan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Yee Fung meminta pengundi membuat keputusan ybijak dalam memilih wakil rakyat yang akan mewakili mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
“Pengundi kena pertimbangkan isu-isu yang dibangkitkan dan rekod calon-calon bertanding sebelum membuat pilihan.
“Selain itu, saya juga berharap pengundi memberi peluang kepada anak muda, wanita agar mempunyai suara yang berbilang dan seragam di Parlimen nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette