Penduduk, Mohd Ridzuan Mohd Ripan, 51 bercakap ketika ditemubual Malaysia Gazettte sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Malam Lereh, Tangga Batu, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 07 November 2022.

MELAKA – Pengundi Parlimen Tangga Batu mahu Ahli Parlimen baharu yang dipilih kelak memberi fokus terhadap usaha menambah baik kemudahan awam dan peluang pekerjaan di kawasan itu.

Rata-rata mereka ketika ditemui berkata, masih terdapat beberapa infrastruktur di Parlimen yang mempunyai 115, 998 pengundi itu tidak dinaiktaraf sejak lebih sedekad lalu.

Mohd Ridzuan Mohd Ripan, 51, berkata antara kerosakan paling ketara adalah jalan raya utama di sepanjang kawasan Kampung Gelam yang ‘bercompang-camping’ sejak lebih sedekad lalu.

“Dari dulu sampai sekarang, saya lihat jalan raya dari kawasan depan Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam sehingga selekoh sekolah menengah masih lagi mengalami kerosakan sama seperti 10 tahun dahulu.

“Jalan yang rosak itu sekadar ditampal-tampal dan ini amat membahayakan pengguna jalan raya utama itu sedangkan ia sepatutnya diturap penuh dan bukannya diturap sekadar asal boleh sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Penduduk, Yong Kian Chong, 48 bercakap ketika ditemubual Malaysia Gazettte sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Malam Lereh, Tangga Batu, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 07 November 2022.

Bagi peniaga pasar malam, Yong Kian Chong, 48, pemimpin yang bakal dipilih kelak perlu tampil dengan idea baharu untuk meningkatkan lagi ekonomi masyarakat setempat sekaligus menambah kuasa membeli dalam kalangan rakyat.

“Kalau dibandingkan dengan lima tahun lalu, pendapatan saya merosot hampir 50 peratus yang mungkin berpunca daripada kurangnya peluang pekerjaan di sini.

“Saya harap Ahli Parlimen yang akan dipilih 19 November ini dapat mengusahakan sesuatu untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya

Penduduk, Mohd Haris Haruman, 18 bercakap ketika ditemubual Malaysia Gazettte sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Malam Lereh, Tangga Batu, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 07 November 2022.

Bagi pengundi muda, Mohd Haris Haruman, 18, lebih banyak pusat riadah seperti gelanggang futsal dan badminton perlu dibina di kawasan itu selain menyediakan peluang kerja di luar bidang pertanian.

“Kalau lebih banyak pusat sukan dibina di sini, saya yakin ia juga dapat mengurangkan masalah sosial kerana masa terluang dapat diisi dengan aktiviti sihat,” katanya.

Penduduk, Sheery Lim, 18 bercakap ketika ditemubual Malaysia Gazettte sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Malam Lereh, Tangga Batu, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 07 November 2022.

Sheery Lim, 18, pula berharap kerajaan baharu kelak mampu menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuka perniagaan mereka di Tangga Batu sekaligus menyediakan peluang kerja dalam bidang profesional.

“Macam saya minat dalam bidang akauntan, tapi mungkin terpaksa bekerja di luar Melaka kerana tiada peluang pekerjaan yang baik di sini.

“Selain itu, saya harap masalah asas seperti kemudahan pengangkutan awam juga dapat segera diselesaikan,” katanya.

Penduduk, Kartikgayan A/L Batumalai, 35 bercakap ketika ditemubual Malaysia Gazettte sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Malam Lereh, Tangga Batu, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 07 November 2022.

Peniaga kuih tradisional, B Kartikgayan, 35, pula berharap isu kekurangan tempat letak kereta di kawasan tumpuan pelancong khususnya sekitar Lereh dan Pantai Puteri dapat ditambah.

“Kalau dilihat, banyak tempat ini sesak terutamanya pada hujung minggu kerana kurangnya tempat letak kereta sehingga kenderaan terpaksa diletakkan di bahu jalan,” katanya. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Bagi saya sebagai pengundi Tangga Batu ialah Ahli Parlimen yg sentiasa ada dan tinggal di kawasan parlimen spt En. Lim Bah Hong…bukannya yg kami tak kenal pun…hilang lepas PRU..tetiba muncul balik..bukan org Tangga Batu pun mcm calon PKR Rusnah tu…entah mana datang agaknya

Comments are closed.