BERA – Perdana Menteri akan merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan tentang kemudahan undi pos kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
Menurut Ismail Sabri, jika boleh mengundi secara pos, ia tidak menimbulkan isu mereka tidak dapat balik bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih.
“Saya kena periksa dulu kerana saya difahamkan mereka boleh mengundi secara pos, saya difahamkan kalau undi pos mereka tidak perlu balik.
“Tetapi sebenarnya dulu mereka kena balik mengundi, saya tahu pengundi Bera ramai kerja Singapura dulu mereka balik,” katanya dalam sidnag media hari ini.
Ismail Sabri berkata, jika diikutkan pengundi berasal dari kawasan sempadan negara seperti Johor dan Sarawak tetapi bekerja di Singapura dan Brunei boleh balik mengundi melalui pengangkutan darat.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura terutama mereka yang berasal dari negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara tanah air dijangka tidak pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Antara alasan yang diberikan adalah kekangan kerja seperti tidak dapat cuti selain faktor kewangan serta tempoh masa melibatkan perjalanan yang jauh dengan cuti singkat hanya sehari.
Berdasarkan rekod terdapat kira-kira 300,000 rakyat Malaysia kini bekerja di Singapura dengan sebahagian mereka adalah rakyat Johor.- MalaysiaGazette