JERANTUT – Sebanyak 10 peratus hasil bumi sesebuah daerah di Pahang perlu diberi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ia bagi membolehkan PBT merancang pembangunan bagi sesuatu kawasan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar sekiranya Perikatan Nasional (PN) merampas Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 berkata, hasil kutipan itu perlu dimasukkan dalam ‘tabung’ PBT.
“Majlis Daerah Jerantut tak mampu buat pelan pembangunan kerana tiada sumber ekonomi yang kuat dan jika ini dibuat, hasil balak, bijih, pasir semuanya dapat membantu PBT,” katanya.
Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Manifesto Perikatan Nasional (PN) Pahang di sini malam tadi.
Dalam masa yang sama, beliau juga bertanding di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.
Tuan Ibrahim seterusnya berkata, melalui tabung itu, PBT juga boleh membaiki jalan yang rosak akibat lori keluar masuk.
Beliau juga mencadangkan supaya premium balak di Pahang disemak semula bagi mengawal dan mengelak ketirisan.
Tuan Ibrahim juga berjanji akan menuntut bayaran daripada kerajaan Pusat kepada Pahang yang menyediakan jumlah hutan yang besar di Taman Negara.
“Taman Negara di Jerantut ini untuk negara dan negeri kehilangan hasil balak kerana ia digazetkan hutan simpan, ia untuk negara dan wajar kerajaan Pusat peruntuk sebahagian dana kepada kerajaan negeri,” ujarnya.- MalaysiaGazette