SHAH ALAM – Belum pun seminggu tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon Barisan Nasional (BN) sudah menjadi mangsa serangan peribadi dan fitnah didakwa dilakukan parti lawan.
Calon BN Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil bagaimanapun tidak mahu membalas serangan tersebut sebaliknya mahu membawa politik sihat dan menunjukkan contoh yang baik kepada pengundi.
“Ada yang fitnah saya kononnya saya pergi ke masjid pakai kereta Mustang. Bila masa pula saya ada kereta Mustang. Ada juga kata, ada orang hamparkan sejadah untuk saya, itu pun fitnah juga, tiada orang hampar untuk saya, saya hampar sejadah sendiri.
“Ada yang kata Isham Jalil ini pergi ke Universiti Havard, universiti mahal. Mana dia dapat duit, ini untuk mewujudkan persepsi kononnya saya ada banyak duit haram pergi Havard. Saya pergi Havard itu, saya belajar rajin-rajin, saya dapat biasiswa.
“Mereka nak kutuk atau fitnah saya itu dia punya pasal, saya tak nak bawa politik macam itu. Saya bawa politik positif, bukan politik serang peribadi. Saya nak bawa politik macam mana nak selesaikan masalah, mereka nak bawa politik negatif itu dia punya pasal,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Isham tidak akan melakukan politik balas dendam mahupun mengutuk pesaingnya di kerusi P0108 Shah Alam, sebaliknya mahu menawarkan penyelesaian masalah asas yang masih berlarutan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Saya tak tengok sangat apa (kelebihan) calon-calon lain itu, kalau mereka nak menang, kempen positif, saya tak nak kutuk orang, saya tak nak buat serangan peribadi.
“Kalau mereka serang saya, fitnah saya, saya jawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette