Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberikan moratorium bagi semua pinjaman bank berikutan keputusan Bank Negara Malaysia baru-baru ini untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%.

Walaupun kenaikan OPR itu adalah sebagai tindak balas kepada inflasi dan sejajar dengan apa yang dilakukan oleh bank pusat di negara-negara lain, keputusan tersebut telah memberi impak negatif kepada sektor perniagaan di Malaysia.

‘Presiden Lantikan’ Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa menerima banyak aduan daripada sektor korporat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai isu ini.

Menurutnya, ramai peserta PKS yang masih menghadapi masalah aliran tunai meskipun negara sudah mula beralih ke peringkat endemik mereka sejak 1 April lalu.

”Walaupun semua sektor ekonomi kini telah dibuka semula, kita masih jauh dari tahap pra-pandemik. Perang di Ukraine, gangguan dalam rantaian bekalan global dan perubahan iklim hanya memburukkan lagi keadaan. Ini tidak dapat dielakkan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan global.

”Ramai peniaga sebelum ini telah menstrukturkan pinjaman mereka dengan andaian bahawa ekonomi akan pulih. Tetapi perkembangan terbaharu menunjukkan ekonomi dijangka menghadapi beberapa cabaran dalam tempoh terdekat. Malahan Bank Dunia baru-baru ini telah menyemak semula sasaran pertumbuhan Malaysia 2023 daripada 4.5% kepada 4.2%

”Inilah sebabnya kami percaya pemberian moratorium ini boleh menjadi talian hayat kritikal untuk perniagaan, terutamanya di masa yang mencabar seperti sekarang. Pakar-pakar ekonomi telah mengesahkan kejayaan rancangan moratorium Malaysia sebelum ini dan saya pasti ia akan membawa manfaat yang sama sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahan pula, bank-bank Malaysia telah terbukti berdaya tahan, dan ada yang memperoleh keuntungan yang lumayan walaupun pada kemuncak wabak Covid-19 dan percaya bank-bank mampu menghadapi sebarang kejutan yang mungkin timbul akibat pemberian moratorium tersebut. – MalaysiaGazette