Dr. Asmah menyantuni seorang warga Lembah Pantai dalam program walkabout.

KUALA LUMPUR – Hanya suara berani dan pembaharuan kepimpinan yang mampu mengubah nasib serta masa depan warga Lembah Pantai, kata calon Parlimen itu, Dr. Asmah Mohd Razalli.

Mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) katanya, akibat jurang kemiskinan yang agak ketara di kawasan itu, beliau bimbang penduduk di situ tidak mampu menetap di tanah sendiri.

“Saya dibesarkan di Bangsar sejak kecil dan telah melihat sendiri jurang kemiskinan yang ketara serta pembangunan pesat antara kawasan ini. Ini mengundang terlalu banyak masalah penduduk yang gagal diselesaikan wakil rakyat sebelum ini.

“Oleh itu, Parlimen Lembah Pantai ini menjadi pilihan saya untuk bertanding dan menawarkan diri berkhidmat kepada rakyat dengan tekad memberi pembaharuan kepada mereka.

“Saya akan bawa perubahan dasar ini bermula dari pejabat wakil rakyat P121 dengan slogan Telus, Adil Tanpa Kerenah Birokrasi,” katanya kepada Malaysia Gazette, di sini, hari ini.

Dr. Asmah berkata, politik untuk rakyat dan matang perlu diperjuangkan, di samping mendidik mereka bahawa wakil rakyat bukan big boss, tetapi segala peruntukan dan masalah perlu diselesaikan tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun warna kulit.

Menurut Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra ini, isu kemampuan rakyat di Lembah Pantai dalam pemilikan rumah di tanah air sendiri membuat beliau merasa sedih dan berazam memberi pembelaan sewajarnya.

“Dengan manifesto anak watan Lembah Pantai sekurang kurangnya mampu menyewa beli dengan kadar minimum, bukan membiarkan projek perumahan berskala mewah sahaja yang tegak berdiri di sini tanpa mengira nasib anak watan.

“Pembangunan lebih sistematik dalam projek perumahan terutama PPR juga akan diselaraskan, termasuk mengkaji semula sistem letak kenderaan yang mengundang kesesakan jalan raya dan menyusahkan penduduk,” katanya.

Doktor perubatan di sebuah hospital swasta ini juga akan memperjuangkan pembangunan lebih sistematik dengan menyediakan pusat komuniti serta asuhan pendidikan awal.

Katanya, beliau sedih melihat ibu bapa setiap pagi dalam keadaan tergesa-gesa menghantar anak ke pusat asuhan yang terletak berpuluh kilometer dari tempat tinggal.

“Justeru, pusat asuhan ini akan dibina dalam komuniti dengan dilengkapi kemudahan penjagaan asuhan, sukan, perpustakaan dan akses jalur lebar.

Tapak khas untuk peniaga kecil mencari rezeki akan disusun lebih teratur jika rakyat Lembah Pantai membuat perubahan pada 19 November ini.

“Sebuah one stop centre juga akan dibuka untuk berkongsi rezeki dengan golongan asnaf Lembah Pantai yang tidak mampu membeli beras tanpa sebarang birokrasi menyusahkan.

“Golongan barisan hadapan seperti polis, tentera, bomba, warga kesihatan dan Angkatan Pertahanan Malaysia serta semua pihak yang menjaga negara juga dekat di hati saya yang akan saya perjuangkan untuk menaikkan elaun, fasiliti perumahan, kebajikan keluarga dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, katanya, turut menjadi keutamaannya juga ialah ketidakmampuan warga Lembah Pantai memiliki rumah.

Katanya, beliau akan membawa pembangunan yang lebih sistematik dan penjagaan kesihatan serta pendidikan seperti biasiswa dan kuota masuk ke Universiti Malaya (UM) untuk anak watan Lembah Pantai.

“Agenda seterusnya yang akan saya perjuangkan ialah mansuh bankrupsi dan senarai hitam bagi kesalahan pertama di bawah panduan AKPK dan Bank Negara.

“Ini demi membantu belia meneruskan hidup, bukan berkelana kerana salah urus ekonomi atas kesalahan pertama. Celik ekonomi belia menjadi keutamaan saya dengan program Tamat Uni Terus Kerja bersama Dr. Asmah,” katanya. – MalaysiaGazette