Calon Barisan Nasional (BN) P.069 Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria beramah mesra bersama penduduk sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di sekitar Bota, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2022.

PARIT – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Belanja dan Bota mencatatkan kemenangan bergaya ketika BN dilanda tsunami politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Datuk Mohd Nizar Zakaria yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Parit menyasarkan parti itu mengekalkan kemenangan 3-0 di kawasan tersebut pada PRU yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Mohd Nizar percaya, beliau serta Khairudin Abu Hanipah di DUN Belanja dan Khairul Shahril Mohamad di DUN Bota yang mempertahankan kerusi masing-masing akan menjadi pilihan rakyat di kawasan itu sekali lagi.

“Kita orang tempatan, duduk di sini dan sentiasa mendengar keluhan, pandangan. Ada perkara terlepas pandang tetapi mereka mengingatkan.

“Atas nama sebagai wakil rakyat sebelum daripada ini dan insya-Allah jika ruang diberikan semula kami bertiga akan mengalas amanah sebaik mungkin dan perancangan baru mungkin kita lalukan.

“Insya-Allah kita harap Parit, Belanja dan Bota akan menang 3-0 dan harap masyarakat beri kepercayaan kepada kami untuk mengalas amanah ini,” katanya ketika ditemui berkempen di sini.

Calon Barisan Nasional (BN) P.069 Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria serta calon Barisan Nasional (BN) N.40 Bota, Khairul Shahril Mohamed beramah mesra bersama penduduk sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di sekitar Bota, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2022.

Jelasnya banyak projek pembangunan telah dilaksanakan sepanjang ketiga-tiga mereka menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Ini termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara Parit, Jambatan Lambor dan Hospital Seri Iskandar yang sebelum ini dituduh sebagai sebuah angan-angan sahaja.

“Hospital Seri Iskandar yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-10 sedang dilaksanakan.

“Hospital baru ini mempunyai 76 katil, enam blok dan tiga tingkat. Setakat ini kemajuan sebanyak 10 peratus.

“Jika dulu orang kata hospital itu omong-omong kosong sekarang ini dia sedang dilaksanakan,” katanya.

Pihaknya juga sedang berusaha supaya projek pembinaan jalan di Parit Seputih dapat dilaksanakan apabila beberapa isu diselesaikan.

Beberapa jalan baru juga ketika ini dalam pembinaan termasuk  antara Teluk Sena, Lambor Kiri ke Seri Manjong.

Terbaharu beliau merancang supaya sebuah kompleks sukan untuk kemudahan rakyat juga dapat dibina di Seri Iskandar.

Rancangan tersebut telah dikemukakan ke peringkat atasan dan kini dalam perhatian.

Beliau juga kini berusaha sawah berkeluasan 3,190 hektar di bawa masuk ke dalam pengairan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) bagi manfaat petani di kawasan itu.

“Perkara ini perjuangan cukup lama dan panjang dan telah selesai di peringkat daerah, negeri dan juga saya rasa sudah sampai ke peringkat kementerian kita menunggu kelulusan

“Saya yakin dan percaya jika mandat diberikan kepada kami, kita akan berjuang dan berusaha memastikan perancangan ini dapat dilaksanakan,” jelas beliau.

Justeru Mohd Nizar meminta rakyat Perak supaya memilih BN pada PRU15 kerana sebarang perubahan kerajaan akan membawa kesan terhadap perancangan yang telah dibuat.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast