KUALA LUMPUR – “Sampai bila agaknya pengangkutan awam di negara kita ini masih ke belakang, negara jiran pun makin maju,”.
Perkara itu menjadi keluhan seorang pekerja swasta, Amirah Ghani yang kesal dengan sistem pengangkutan awam yang sepatutnya memudahkan pengguna, namun apa yang berlaku sebaliknya.
Memahami insiden gangguan teknikal membabitkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya itu berlaku di luar kawalan, Amirah mengharapkan pihak berkenaan mempunyai pelan kecemasan.
“Saya ada baca kesulitan yang berlaku ini jarang sekali berlaku, saya faham cuma saya lihat Prasarana seperti tidak ada langsung exit plan untuk perkara ini, macam semalam saya terkandas, ramai tersangkut dengan feeder bus pun kurang,” ujar juruaudit berusia 27 tahun itu.
Seorang lagi pekerja swasta, Zulaikha Ishar turut meluahkan perasaan yang sama apabila nasibnya sebagai pengguna setia perkhidmatan itu sejak lima tahun lalu tidak dipedulikan.
“Sebenarnya, ini bukan kali pertama gangguan macam ini berlaku. Sebelum ini sudah beberapa kali terjadi tapi hanya dalam jangka masa singkat.
“Ini sudah sampai tujuh hari tak beroperasi, rasanya paling lama dalam sejarah, sedih sebab kurang nampak effort pihak berkenaan mahu atasi sebab ini kejadian berulang,” kata wanita berusia 32 tahun itu ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Bagaimanapun, Zulaikha melahirkan rasa terharu kerana majikannya sangat memahami kesulitan yang dialami dan membenarkan mereka yang terkesan bekerja dari rumah.
“Alhamdulillah, pihak atasan faham masalah ini dan bagi saya work from home. Tujuan saya ke pejabat hari ini pun cuma mahu ambil beberapa barang di pejabat sebab seminggu boleh kerja dari rumah,” katanya.
Seorang warga emas yang ingin dikenali sebagai Kahar Abdullah pula berkongsi perasaan cemas atas gangguan yang berlaku kerana ia menyukarkan perjalanannya yang hanya bergantung harap kepada perkhidmatan tren berkenaan.
“Rasa susah juga sebab sebelum ini memang dah tahu naik di Ampang ini, lepas itu turun hanya jalan kaki 10 minit sudah boleh sampai rumah. Sekarang kena naik bas macam susah sikit kena banyak tanya driver baru tak sesat,” ujarnya.
Terdahulu, penggantungan operasi LRT laluan Kelana Jaya ke Stesen Ampang Park terpaksa dilakukan selepas mengalami gangguan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) yang berlaku sejak Sabtu lalu. – MalaysiaGazette