Abdul Hadi Awang.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 SEPTEMBER 2022.

BANGI – Pas mengakui terlibat dalam gerakan untuk menukar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan persetujuan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu dirancang sebelum berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan tumbang.

“Tun, kami ada cadangan. Tukar kerajaan melalui Parlimen dengan cara kita mengambil ahli-ahli Parlimen dan jumlah yang cukup dan dapat majoriti mudah dan buat SD (Akaun Bersumpah) serah pada YDPA (Yang di-Pertuan Agong) untuk tukar kerajaan.

“Dia kata okey kalau boleh buat. Kita kata boleh buat senyap-senyap, tak boleh buat sidang media, kalau buat tak jadi.

“Ini bukan Langkah Sheraton, itu berlaku malam itu sahaja untuk tukar kerajaan. Ini yang sebenarnya,” katanya dalam sesi Hi-Tea bersama kepimpinan Pas Bangi, petang tadi.

Hadir sama Yang Dipertua Pas Bangi, Shafie Ngah.

Sebelum ini, Abdul Hadi mengakui beliau memulakan Langkah Sheraton bertujuan menjatuhkan PH selepas Pas beranggapan gabungan itu sedang berusaha menghapuskan hak keistimewaan Melayu.

Jelas Abdul Hadi, perbincangan dibuat beberapa kali dalam pertemuan dengan Mahathir.

Ia bermula dengan pertemuan parti itu atas alasan untuk menuntut royalti minyak bagi negeri Kelantan dan Terengganu.

Malah ia juga dilakukan berikutan protes besar-besaran ke atas cubaan PH meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, sebelum ini.

Abdul Hadi menjelaskan, langkah untuk menukar kerajaan perlu mendapat perkenankan YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, perkara itu terhenti apabila berlaku krisis antara Dr. Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setelah cukup tandatangan kami menghadap YDPA dan baginda kata kalau cukup jumpa, baginda boleh luluskan (bentuk kerajaan baru). Kalau tak cukup jumlah tak boleh buat. Itu caranya.

“Kemudian berjalan perkara itu lama sedikit sebab makan masa yang panjang. Kebetulan dalam proses hampir dua tahun PM memerintah berlaku macam-macam episod.

“Antaranya krisis dalaman yang tak selesai mengenai siapa yang akan jadi PM,” katanya.

Abdul Hadi berkata, gerakan itu terhenti apabila Dr. Mahathir mendapat sokongan daripada PH untuk kekal memerintah sehingga tamat penggal.

Ia menyebabkan Mahathir membuat pusingan U menyaksikan gerakan itu gagal, katanya.

“Mahathir kata mereka sokong saya sebulat suara. Mahathir terima. Saya kata kepada Mahathir ini tak betul, boleh jadi satu penipuan.

“Akhirnya Mahathir minta menghadapi YDPA lepas itu dia buat sidang media letak jawatan. Lantik dia jadi PM interim dan nak tubuh kerajaan perpaduan.

“Semua tolak termasuk Pas kerana jumlah ahli Parlimen akan didominasi DAP dan parti lain berpecah. Terpaksa kami pindah calonkan Muhyiddin sebagai PM dan UMNO pun setuju dan (Muhyiddin) angkat sumpah sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Ia kemudiannya berlaku Langkah Sheraton pada Februari 2020 di mana sekumpulan Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti itu bertujuan menumbangkan PH selepas gabungan berkenaan menerajui kerajaan selama 22 bulan. – MalaysiaGazette