KUALA LUMPUR – Eh, Siti Kassim!!!! calon bertanding di Parlimen Batu?? Wow boleh kita berselfie Siti!!!
Itu antara reaksi dan keterujaan orang ramai penduduk Bandar Baru Sentul semalam apabila kemunculan aktivis dan peguam berkontroversi Siti Kassim atau Siti Zubaedah Kassim ketika berkempen di Parlimen Batu.
Penampilan Siti Kassim sangat ringkas – berpakaian hitam, rambut kuningnya dihias, wanita ini diiringi jentera kempennya yang terdiri dalam kalangan Orang Asli yang memegang bendera jingga dengan tertera perkataan Penggerak Bebas.
Berjalan sambil memegang payung dan bergaya selamba, Siti yang berkaca mata besar sentiasa mengukir senyuman.
Hujan yang turun sepanjang dia bertemu penduduk di kawasan Perumahan Awam Sri Perak, Sentul tidak dihiraukannya.
Dari peniaga sate, pemuda yang menjual burger sehinggalah pasangan yang menjamu selera di kedai Nasi Kandar di kawasan perumahan itu, disapa Siti Kassim.
“Hai, Saya Siti Kassim, saya turun sebagai calon bebas di Batu pada 19 November ini. Berilah peluang kepada saya selaku calon bebas dan undi saya..jangan lupa pangkah saya bercermin mata nombor satu dalam kertas undi nanti.
“Biar saya mewakili anda bersuaradi Parlimen, beri peluang kepada calon tidak berparti untuk berkhidmat kepada anda semua kali ini for a change!“,” kata Siti.
Didekati wartawan MalaysiaGazette, Siti mengakui beliau gembira kehadirannya di situ diterima penduduk.
“Kamu boleh dilihat sendiri sambutan pengundi dan mereka sangat mengenali saya, tidak menolak permintaan saya sepanjang empat hari berkempen, yang mana sambutannya semakin memberangsangkan.
“Saya tidak seperti calon berparti yang berbelanja besar dengan jentera, ceramah kelompok dan mega, selain menggantungkan kain rentang, banner di merata tempat serta khemah di lokasi penting menarik pengundi.
“Manifesto saya sangat ringkas dan jelas iaitu pemisahan agama dari kuasa kerajaan dan ia siap dicetak dalam poster saya serta risalah tangan yang giat diedarkan kepada pengundi di sini,’ katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.
Ditanya tahap keyakinannya terhadap sambutan pengundi, Siti Kassim memberitahu, beliau diterima baik oleh pengundi Cina dan India.
Mengulas mengenai berdepan calon berparti dan penyandang kerusi itu, Siti Kassim tidak menafikan perlu bersedia dengan pengetahuan lebih luas tentang kehendak pengundi tempatan di sini.
“Saya rasa sejurus mereka sedar saya sedang ‘berlari’ untuk mereka secara serius, mereka akan menerima saya sepenuhnya dan mengundi nanti sebab mereka tahu saya seorang wanita yang berani, berbeza dan saya jenis ‘walk the talk’ dan tidak boleh dihalang oleh mana-mana pemimpin politik.
“Saya bagaimanapun, tidak mahu terlalu yakin kerana saya tahu ramai orang di sini tahu saya menyertai perlumbaan ini, sebab Prabakaran terkenal sebagai penyandang, dia mempunyai jentera dan kekuatan dana yang cukup selesa untuk berkempen.
“Jika saya memiliki kekuatan itu, mungkin saya mempunyai kelebihan untuk memberi saingan kuat dan boleh menang tetapi menggunakan apa yang ada pada saya sekarang, iaitu kekuatan dana yang sangat terhad, saya hanya perlu cuba yang terbaik,” katanya.
Berbicara lanjut kepada MalaysiaGazette, Siti menegaskan bermula minggu hadapan beliau akan fokus dalam ceramah besar bersama pengundi tempatan untuk memaklumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Jelas Siti, beberapa tahun lalu, beliau mengumpul lebih 2,000 orang untuk mendengar ceramahnya di Dewan Himpunan Cina di KL dan optimis kali ini dapat mengulanginya di Batu.
“Jika rakyat suka, pasti pengundi Batu akan hadir dan dengar apa yang Siti Kassim ini mahu kongsikan nanti kepada mereka pada minggu depan.
“Saya tidak akan mencetak atau melancarkan manifesto tetapi saya mahu mempromosikan agenda pemisahan agama dan kerajaan.
”Kita tidak mahu ahli politik menunggang kuda atas nama agama kerana ramai yang bersetuju dengan pendapat saya ini kerana mereka terang-terangan melihat bagaimana ahli politik menggunakan agama untuk kepentingan mereka,” jelasnya lagi.
Ditanya perasaannya bila turun berkempen, Siti secara selamba berkata, beliau berasa sangat luar biasa tetapi masih proses belajar. – MalaysiaGazette