NIBONG TEBAL – Anak perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa turun padang petang tadi bagi menyantuni pengunjung dan peniaga di Pasar Malam Bandar Tasek Mutiara di sini, hari ini.
Beliau berkata, kehadirannya di sini bagi memberi sokongan sekali gus membantu calon Friends Of Barisan Nasional, Datuk Seri RS Thanenthiran berkempen.
“Lebih 200 kali uncle (Thanethiran) turun ke mahkamah bagi menyatakan sokongan dan memberikan semangat moral kepada ayahanda bossku (Najib).
“Jadi saya ambil kesempatan ini untuk memberi sokongan kepada calon Parlimen Nibong Tebal ini, selain berharap pengundi di sini akan memilih beliau selaku wakil rakyat.
“Bayangkan ketika ayahanda (Najib) dalam kesusahan beliau (Thanethiran) sentiasa ada bersama, jadi semestinya beliau akan kekal bersama dalam susah senang rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Selain itu, ketika menyantuni pengunjung dan peniaga pasar malam secara santai, Nooryana turut mengingatkan mereka untuk keluar menunaikan kewajipan mengundi pada 19 November ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Thanenthiran ketika ditemui meluahkan rasa terima kasih kepada keluarga Najib khususnya Nooryana yang tampil membantunya berkempen.
“Kehadiran Yana ibarat memberi saya booster, macam vaksin kita akan booster macam tu lah saya rasa bila Yana tampil untuk memberi sokongan serta kempen buat saya.
”Saya rasa amat terharu dan berterima kasih kepada Yana yang sanggup datang dari jauh demi saya serta jentera BN di Parlimen Nibong Tebal.
“Inilah keluarga Datuk Seri Najib yang saya kenal, mereka sentiasa mengingati susah senang kawan. Memang waktu ini saya perlukan sokongan kuat dan moral demi memastikan kemenangan buat parti,” katanya.
Thanenthiran bersaing empat penjuru membabitkan penyandang kerusi itu daripada Perikatan Nasional, Datuk Mansor Othman; Fadhlina Sidek (Pakatan Harapan) dan Goh Kheng Huat (Bebas).
PRU14 menyaksikan kerusi Parlimen Nibong Tebal dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket PKR selepas mendapat sebanyak 35,395 undi menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) (19,578 undi) manakala Mohd Helmi Harun (Pas) (6,875 undi) dan Tan Tee Beng (Bebas) (331 undi). – MalaysiaGazette