TEMERLOH – “Buat apa dia hendak berpindah ke sini selepas PRU-15? Dia sepatutnya pindah selepas PRU14 lagi.”
Itu nasihat calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin mengenai hasrat Hasbie Muda yang juga calon Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda Amanah itu dalam siri kempennya berjanji akan membawa keluarga menetap di sini sekiranya memenangi PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) kelak.
“Kita (wakil rakyat) kena bekerja kepada pengundi sebelum dan selepas pilihan raya,” katanya ketika ditemui di sini malam ini.
Mohd Sharkar sebelum itu menghadiri ceramah perdana bersama Datuk Kazim Elias di Dewan Temerloh Jaya.
Terdahulu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu memberitahu, rata-rata pengundi ditemuinya mahu BN kembali memenangi kerusi Parlimen Temerloh.
“Ada sedikit perubahan yang agak positif kepada BN, di mana-mana saya pergi (berkempen) terutama di pasar pagi dan tempat orang ramai, mereka mahu kali ini bagi kepada BN dan ia sangat positif,” ujarnya.
Parlimen Temerloh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohd Sharkar, Mohd Hasbie (PH), Aminuddin Yahaya (GTA) dan Salamiah Mohd Nor (Perikatan Nasional).
Pada PRU14, Parlimen Temerloh dimenangi oleh PH melalui wakil Amanah, Anuar Tahir.
Bagaimanapun, sebagai under dog, BN akan meneruskan usaha meraih undi terutama kepada pengundi berusia 25 tahun ke bawah yang pertama kali mengundi.
Kempen yang sama akan dilakukan kepada pengundi lama secara khusus seperti pesara, bekas polis dan pelajar universiti. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: