Calon Pakatan Harapan P.088 Temerloh, Mohd. Hasbie Muda (dua kiri) beramah mesra dengan penduduk sekitar ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Medan Selera Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

TEMERLOH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Temerloh ada cara tersendiri untuk berkhidmat sekiranya menang Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hasbie Muda yang juga Ketua Pemuda Amanah berjanji akan berpindah dari Terengganu dan menetap di Temerloh jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Isu (calon) orang luar kerana dia (pengundi) nak tengok perkhidmatan mereka dan bukan kerana dia berada di sini atau tidak.

“Selepas menang di Temerloh, saya akan berpindah ke Temerloh bersama keluarga dan sesekali keluar ke Kuala Lumpur untuk mesyuarat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui semasa walkabout di Pekan Sehari Temerloh hari ini.

Calon Pakatan Harapan P.088 Temerloh, Mohd. Hasbie Muda ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Medan Selera Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

Menurut Hasbie, penyandang kerusi Parlimen Temerloh yang juga dari Amanah, Anuar Tahir sebelum ini berkhidmat dengan baik cuma mengalami masalah kesihatan.

“Jadi parti hantar Ketua Pemuda Amanah Nasional (dirinya) kerana yang pertama, sihat dan kedua, di belakanganya ada jentera pemuda negeri-negeri.

“Jika berlaku banjir, saya akan kerah ahli saya ke Temerloh berbeza dengan Anuar yang tiada kemampuan kerana bekerja di pejabat,” katanya.

Bagaimanapun katanya pencalonannya di Parlimen Temerloh adalah atas arahan parti dan bukan kehendaknya. – MalaysiaGazette