Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini tampil dengan Agenda Baharu Malaysia sebagai manifestonya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Pengerusi penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya tidak menjanjikan bulan dan bintang sekiranya dipilih menerajui kerajaan.

Jelasnya, GTA menggariskan lima prinsip utama sekiranya gabungan itu berjaya menubuhkan kerajaan selepas 19 November depan.

“Kami akan memastikan perkara-perkara berikut iaitu penubuhan sebuah Kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab, penubuhan sebuah kerajaan yang bebas dari rasuah dan kerajaan yang berpegang kepada prinsip bersih, cekap dan amanah sebagai teras kepada ke semua lapisan pentadbiran,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa melancarkan manifesto GTA yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), malam ini.

Selain itu, GTA turut memberikan komitmen untuk menjadi kerajaan yang akan menebus ekonomi Malaysia dengan kembali menjadi Harimau Asia selain menjadi kerajaan yang berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan GTA yang berpegang kepada lima prinsip itu akan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, rakyat dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan tidak ada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa tergari.

“Kebebasan rakyat sebagaimana yang diperuntukan di dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya. Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan akan dipertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, Agenda Baharu Malaysia ini mencadangkan pembetulan-pembetulan struktural kepada naratif dan dasar negara bagi memastikan Malaysia mampu dipulihkan dan kembali kepada landasan pembangunan untuk mencapai negara maju dan lestari.

GTA yang menggunakan logo Pejuang adalah gabungan parti politik terakhir yang membentangkang manifesto pada PRU15.

Minggu ini, ketiga-tiga gabungan parti utama yang berentap pada PRU15 sudah pun melancarkan manifesto masing-masing, dengan Barisan Nasional menampilkan PADU bersama 99 tawaran.

Perikatan Nasional pula mengetengahkan 234 tawaran berteraskan 12 tunjang melalui 30 pendekatan, termasuk pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara, manakala Pakatan Harapan pula memberikan 10 tawaran utama bagi memulihkan Malaysia dan membina ekonomi masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast