Lokman menunjukkan kenderaan mewah klon jenis BMW yang dirampas daripada pembeli tempatan bulan lalu.

KLANG – Peningkatan pembelian kenderaan mewah klon yang diseludup dari negara jiran, Singapura di negara ini semakin serius.

Justeru, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan usaha membanteras sindiket itu melalui Operasi Khas Kenderaan Klon di seluruh negara.

Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan, menerusi operasi itu, JPJ memfokuskan akiviti penangkapan sindiket yang membawa masuk kenderaan mewah klon dari Singapura.

Kata beliau, sejak 2011 sehingga kini pihaknya berjaya merampas serta membuat tangkapan sebanyak 329 kes melibatkan sindiket di Selangor.

“Siasatan kita mendapati, sindiket penyeludupan itu memiliki Sijil Kelayakan (CEO) yang akan tamat dalam tempoh tiga hingga tujuh hari sebelum dilupuskan.

“Mereka menjual kenderaan klon ini kepada pembeli di Malaysia dengan harga murah iaitu bergantung kepada model kenderaan dan tahun kenderaan tersebut dibuat.

Lokman pada sidang media khas mengenai rampasan kenderaan mewah klon di Pejabat JPJ Selangor.

“Harga yang dijual antara 3,000 hingga 5,000 dolar Singapura (SGD) bagi kenderaan model BMW, Lexus, Mercedes, Honda dan Toyota dengan menyasarkan individu berusia 25 hingga 40 tahun,”katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Selangor, di sini, hari ini.

Menurut Lokman, sindiket terbabit menawarkan kenderaan klon itu melalui platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Wechat dan aplikasi jualan kenderaan secara dalam talian untuk memperdaya orang awam,” katanya.

Kata beliau, JPJ Selangor telah melakukan pelulusan kenderaan klon itu melalui lelongan awam pada 2019 dengan penjualan sebanyak 234 kenderaan.

Kata Lokman, tahun ini pula sebanyak 46 kenderaan mewah klon melibatkan pelbagai jenis dan model telah dijual dengan menyumbang kutipan hasil kerajaan sebanyak RM4,693,050.

Beliau memberi amaran keras kepada sindiket yang menjalankan transaksi penipuan itu bahawa mereka tidak akan terlepas dari buruan penguatkuasa JPJ.

“Kepada orang ramai, saya menyeru tidak terpedaya dengan tawaran jualan kenderaan mewah klon yang terdapat dalam media sosial.

“Jika pengguna kenderaan klon ini terlibat dalam kemalangan, tiada perlindungan insurans, keselamatan diri dan keluarga serta pampasan akan diberikan.

“Sebaliknya, mereka diminta merujuk kepada JPJ terlebih dahulu bagi mendapatkan pengesahan maklumat kenderaan yang hendak dibeli,” katanya.

Kata beliau, jika tangkapan dibuat, individu itu boleh diambil tindakan bawah Seksyen 7(1), Seksyen 108(3), seksyen 90(2) dan dan Seksyen 64(1) Akta 333 iaitu menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan, mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan tersebut.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan penjara tidak kurang satu tahun. – MalaysiaGazette