Khairy Jamaluddin

SUNGAI BULOH –  Khairy Jamaluddin enggan memanjangkan lagi isu pencalonan beliau di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada pilihan raya umum kali ini.

Bagaimanapun, calon Barisan Nasional (BN) itu menjelaskan keputusan untuk bertanding di kerusi tersebut selepas memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di Parlimen Rembau.

Menurut beliau, keputusan berkenaan diambilnya selepas tidak lagi dicalonkan oleh parti dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy mendakwa beliau tidak diberikan isyarat jauh sekali dipanggil untuk berbincang mengenai penempatan kerusi menjelang penamaan calon pada 5 November yang lalu.

Justeru, beliau mengambil inisiatif sendiri menghubungi Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran supaya kerusi itu diberikan kepada UMNO kali ini.

“Saya tak mahu panjangkan polemik dengan Presiden UMNO sebab tak elok kita bercakap melalui media. Tetapi hakikatnya adalah saya tiada lagi pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi apa-apa isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan, saya ditinggal begitu sahaja.

“Saya tahu saya kena keluar daripada kawasan Parlimen Rembau jadi pada waktu saya tidak ada pilihan saya perlu lakukan sesuatu untuk diri saya.

“Saya mengambil inisiatif untuk bincang dengan Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Vigneswaran sebab masa itu sudah tidak banyak kerusi yang available’ (ada).

”Hanya dua, tiga yang tinggal, saya kata tidak apalah saya pilih Sungai Buloh,” katanya kepada pemberita selepas Program Inisiatif Bersama Pekerja Industri @ Sungai Buloh di SME Aerospace Sdn Bhd.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa tiada sesiapa dalam parti berkenaan memaksa atau mengarahkan Khairy bertanding di Sungai Buloh, kerusi yang dianggap gelap selepas parti itu kalah dalam pilihan raya tiga kali berturut-turut.

Selepas menjelaskan situasi sebenar, beliau menegaskan, tiada isu membelakangkan Ahmad Zahid berhubung tindakan yang dilakukan untuk mendapatkan kerusi pada PRU ini.

Sementara itu, Khairy mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggapnya layak menjadi Perdana Menteri.

Namun Menteri Kesihatan itu berpendirian, beliau tetap berada di parti yang tepat untuk perjalanan karier politiknya.

“Saya berada dalam parti yang tepat walaupun Tan Sri Muhyiddin telah pun memberi komen yang baik berkenaan mutu kerja saya.

“Saya telah bekerja kuat sewaktu beliau melantik saya sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi. Beliau tahu apa yang saya mampu lakukan, etika kerja saya yang saya boleh mampu melaksanakan tugas.

“Tapi soal parti ini kita kena bersetuju atau tidak bersetuju ya lah dia PN saya BN,” katanya lagi.

Sementara itu, Khairy menegaskan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor meskipun berlainan parti.

Tambah beliau, perbezaan parti dalam satu kawasan memberi kelebihan untuk pelaksanaan semak dan imbang dilakukan.

“Kalau kita pilih Ahli Parlimen yang sama dengan kerajaan negeri, sama merah (Pakatan Harapan) semua tutup mulut. Jadi Ahli Parlimen harus orang lain. Kalau satu pasukan susah nak semak dan imbang.

“Kalau saya jadi Ahli Parlimen Sungai Buloh, saya tidak akan tutup mulut dan perjuangkan pengundi di sini. Kalau kerajaan negeri tidak mahu perjuangkan saya akan bela pengundi di sini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette