KUALA UMPUR – Lambat setengah jam ke lokasi yang dituju, sesak dan tidak selesa itu antara rungutan orang ramai apabila terpaksa menggunakan bas perantara yang disediakan Rapid Bus susulan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya tergendala sejak Selasa lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 7 pagi di stesen LRT Pasar Seni mendapati, keadaan agak terkawal tetapi berlaku sedikit kesesakan apabila orang ramai keliru dengan arahan dan terpaksa berasak-asak di dalam bas untuk menuju destinasi masing-masing.
Nor Mazlien Idayu Mohd Nazar, 18, merupakan pelajar kolej swasta di Setiawangsa berkata, dia terpaksa menunggu bas perantara di stesen Pasar Seni untuk ke LRT Damai hampir setengah jam sekali gus menyebabkan dia terlewat untuk menghadiri kelas pada waktu pagi.
“Saya bergerak dari rumah di Rawang pada jam 6.30 pagi ke Pasar Seni untuk pergi ke kolej di Setiawangsa. Saya tunggu sini dekat setengah jam untuk ke Masjid Jamek tapi sampai sekarang (8 pagi) masih tak dapat naik bas sebab penuh.
“Kelas saya sepatutnya start jam 8 pagi tapi sudah maklum pada pensyarah pasal LRT rosak dan dia pun faham. Agak membebankan juga sebab penat nak menunggu bas, kena naik bas nak ke Damai lagi untuk naik LRT. Saya pun asyik lambat ke kelas sejak Selasa,” katanya ketika sedang menunggu bas ke Masjid Jamek.
Nurul Izzah Khairunissa Shamsul Hisham, 21, berkata, dia lebih gemar menggunakan perkhidmatan LRT daripada bas perantara kerana terpaksa bersesak dengan orang ramai dan waktu perjalanan ke tempat kerja juga semakin lewat.
“Saya daripada Sungai Buloh ke Pasar Seni sepatutnya naik LRT tapi hari ini kena naik bas pula. Perjalanan selalunya 30 minit sahaja kalau gerak dari rumah pada jam 7 pagi naik tren ke tempat kerja di KL Gateway.
“Hari ini sampai lewat sikit sini pada jam 8 pagi. Ini pun saya tunggu sekejap kawan sebab nak naik bas. Saya tak selesa naik bas kerana sesak dengan orang ramai.
“Saya harap mereka maklum awallah kalau nak tutup LRT, jangan last minit buatkan semua orang jadi tak selesa kena berasak-asak macam tu,” ujarnya.
Naziratul Balqis Ahmad Hamidi, 25, berkata, dia lebih suka berjalan kaki dari stesen Masjid Jamek ke Pasar Seni untuk memastikan pergerakannya lebih cepat daripada terpaksa menunggu bas ke LRT Kelana Jaya untuk ke LRT Universiti.
Mengakui keadaan itu menyusahkan tetapi tiada pilihan.
“Biasanya saya darirumah guna LRT Sentul dalam pukul 8 pagi dan dari sini naik LRT Kelana Jaya ke LRT Universiti akan sampai di pejabat pada jam 9 pagi.
“Tapi disebabkan situasi sekarang ini, rasa 9.30 pagilah sampai pejabat sebab lambat nak tunggu bas, lepas tu jalan kaki dari Masjid Jamek ke Pasar Seni lagi.
“Majikan saya amat memahami masalah ini, jadi ada pertimbangan jika masuk lewat. Tapi saya berharap masalah LRT diselesaikan segera,” ujarnya yang mencadangkan tambah baik keperluan pengangkutan tersebut.
Sementara itu, pekerja swasta, Nur Farah Ismail, 32, mengakui penangguhan laluan LRT yang berlaku sekarang menyebabkan kehidupannya terjejas.
“Saya daripada Sungai Buloh nak ke Pasar Seni ini tiada problemlah cuma dari Pasar Seni nak ke Masjid Jamek tertangguh sikit tapi tiadalah jauh mana rasa kurang daripada 10 minit. Saya tak lambat masuk pejabat sebab kita masuk 9.30pagi.
“Semalam je saya macam agak tergesa-gesa juga sebab saya tak tahu pun LRT ada masalah, jadi tiba lewat ke pejabat.
Rata-rata pengguna LRT Kelana Jaya berharap pihak Prasarana segera membaiki kerosakan yang berlaku dalam sistem agar memudahkan perjalanan orang ramai.
Rapid Rail Sdn Bhd menggantung operasi 16 stesen LRT melibatkan laluan Kelana Jaya selama seminggu bermula semalam.
Ia melibatkan stesen LRT yang digantung operasi ialah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.
Penggantungan itu terpaksa dibuat kerana ia mengalami masalah sistem pemanduan automatik yang menyebabkan gangguan perkhidmatan. – MalaysiaGazette