PUCHONG – Wakil rakyat sepatutnya tidak ‘pilih bulu’ dalam memberikan perhatian dan perkhidmatan meskipun kepada pengundi yang berlainan ideologi politik.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menempelak penyandang kerusi tersebut yang didakwanya tidak berani turun ke kawasan tertentu yang majoriti merupakan menyokong parti berkenaan.
“Mereka sampaikan kepada saya, Ahli Parlimen kawasan ini tidak pernah datang ke perkampungan orang asli di sini.
“Masa datang pun bila nak minta undi selepas itu tidak lagi nampak muka sampai sekarang.
“Mungkin sebab kawasan ini adalah kubu BN tapi bagi saya sebagai wakil rakyat tidak boleh bersifat begini,” katanya kepada pemberita.
Jelas beliau, meskipun berbeza ideologi, wakil rakyat bertanggungjawab untuk memberikan khidmat kepada semua penduduk setempat.
“Siapa pun, tempat siapa pun sebagai wakil rakyat mesti turun ke mana-mana kawasan di bawahnya berikan perhatian untuk semua penduduk,” katanya ketika ditemui selepas menziarah Kampung Sungai Rasau Hilir Batu 14 dan Taman Orang Asli Saujana Puchong.
Katanya lagi, wakil rakyat tidak seharusnya mencipta jurang yang besar dengan pengundinya.
Untuk rekod, Parlimen Puchong disandang oleh Gobind Singh Deo (DAP) sejak tiga penggal yang lalu pada 2008.
Pada PRU14, Gobind menang dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (Pas) dengan 10,255 undi.
Pada pilihan raya kali ini, Puchong menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan seorang calon bebas.
Calon yang bertanding adalah Yeo Bee Yin (PH); Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (aktivis kemasyarakatan mewakili Bebas) dan Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (BN) dan Chew Jyh Gang (PN). -MalaysiaGazette