bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka bergerak lebih tinggi minggu depan, disokong oleh pelabur global yang telah kembali ke pasaran, menyaksikan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,460 dan 1,480, kata seorang peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, sokongan padu daripada institusi asing dijangka melonjakkan bursa tempatan dengan momentum belian berterusan pada minggu depan.

“Kami menjangkakan FBM KLCI menyaksikan paras rintangan serta-merta pada 1,490 sementara sokongan pada 1,420,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata saham-saham yang diniagakan di Bursa Malaysia meningkat minggu ini dengan jangkaan inflasi Amerika Syarikat yang lebih perlahan daripada unjuran boleh mendorong Rizab Persekutuan untuk melonggarkan laluan kenaikan kadarnya yang agresif.

Menurut laporan berita, inflasi AS berkurangan kepada 7.7 peratus pada Oktober 2022 berbanding bacaan 8.2 peratus pada September 2022, sekali gus mencetuskan harapan bahawa kenaikan harga telah mula perlahan.

Selain itu, Innes berkata data ekonomi Malaysia yang positif untuk suku ketiga 2022 yang diumumkan pada Jumaat turut menyumbang kepada kenaikan yang diraih untuk minggu ini.

Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh dalam pasaran buruh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

“Ini semua telah menjadi pemacu besar untuk keuntungan hari ini,” katanya.

Untuk minggu depan, beliau berkata berita mengenai China menghentikan penggantungan penerbangan dan pengurangan kuarantin untuk pelancong domestik menjadi tumpuan dalam kalangan pelabur.

“Memandangkan pelabur semakin sensitif terhadap berita-berita berkaitan pembukaan semula sempadan berbanding sekatan pergerakan – akhirnya ada ruang untuk memperhalusi kawalan COVID-19. Peralihan dasar ini adalah berita baik untuk pasaran tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengukuhan nilai ringgit juga akan menjadi satu lagi pemacu penting bagi saham tempatan.

Sementara itu, pada sesi urus niaga Jumaat, FBM KLCI mengukuh 1.27 peratus atau 18.47 mata, kepada 1,468.21 daripada penutupan Khamis pada 1,449.74.

Berbanding minggu sebelumnya, indeks utama itu meningkat 29.93 mata daripada 1,438.28 sebelum ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 199.41 mata kepada 10,416.90, FBM 70 memperoleh 229.89 mata kepada 12,372.02 dan Indeks FBMT 100 pula 202.67 mata lebih tinggi kepada 10,151.59.

Indeks FBM Emas Syariah melonjak 202.49 mata kepada 10,529.58 dan FBM ACE menambah 174.13 mata kepada 5,093.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok  260.54 mata menjadi 16,353.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 5.62 mata kepada 179.40, Indeks Perladangan naik 81.71 mata kepada 6,902.73 manakala Indeks Tenaga kerugian 0.96 mata kepada 724.32.

Dalam minggu dagangan, jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.83 bilion unit bernilai RM8.83 bilion daripada 13.37 bilion unit bernilai RM8.89 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama lebih tinggi, mencatatkan sebanyak 10.75 bilion saham bernilai RM7.62 bilion berbanding 9.03 bilion saham minggu lalu bernilai RM7.61 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.67 bilion unit bernilai RM358.37 juta daripada 1.62 bilion unit bernilai RM325.14 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengembang kepada 3.38 bilion saham bernilai RM840.71 juta daripada 2.70 bilion saham bernilai RM955.85 juta. – BERNAMA