Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Calon Melayu yang bertanding atas tiket DAP mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memilih wakil rakyat berdasarkan kaum dan agama.

Syahredzan Johan calon Bangi berkata, bagaimanapun mereka mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana memberi publisiti bahawa DAP banyak menampilkan calon Melayu pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15).

“Kami faham, usaha DAP mengetengahkan calon Melayu yang berkaliber dan berpotensi mendatangkan kebimbangan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) khususnya.

“Kerusi yang ditandingi calon Melayu daripada DAP pula bukanlah kerusi mudah, namun DAP meletakkan calon terbaik mereka bagi membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU15.

“Jika memang, kita meletakkan calon terbaik pemimpin negara ketika ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Syahredzan, pengundi Melayu Islam akan memilih calon Melayu daripada DAP bukan hanya kerana mereka Melayu Islam, sebaliknya berdasarkan prestasi dan khidmat wakil rakyat DAP.

“Abdul Hadi terus memandang rendah keupayaan berfikir pengundi Melayu Islam dalam memilih pemimpin dan wakil rakyat mereka.

“Pemimpin Pas ini juga turut merendahkan tokoh pemimpin Melayu Islam yang bukan sahaja dipandang tinggi di Malaysia, malah di peringkat dunia iaitu Anwar sebagai seorang yang boleh dipergunakan oleh pihak lain.

“Ramai sudah sedar, parti yang menunggang sentimen Melayu dan Islam bagi meraih undi adalah Pas dan parti sekutu mereka,” katanya.

Beliau menyatakan, pandangan singkat Abdul Hadi terhadap DAP menyebabkan mereka hanya tahu menggunakan sentimen kaum dan agama untuk memenangi pilihan raya berbanding mengemukakan calon berkaliber dan menengahkan polisi yang baik bagi menyelesaikan masalah rakyat seperti dilakukan DAP dan PH.

Katanya, walaupun DAP tidak banyak bertembung dengan calon Pas, namun parti itu terus merasakan bahawa DAP adalah seteru politik utama mereka.

“Mungkin Presiden Pas itu dapat melihat gelombang sokongan pengundi kepada DAP dan PH yang memungkinkan mereka hilang kuasa dan jawatan yang sudah beraja di hati mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette