Dr. Asmah menyantuni keluarga di Kampung Psir, Lembah Pantai.

KUALA LUMPUR – Masih banyak lagi masalah yang tidak diselesaikan di Lembah Pantai, walaupun sudah dua penggal Pakatan Harapan (PH) menjadi wakil rakyat di situ.

Calon Parti Pejuang bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai, Dr. Asmah Mohd Razalli berkata, bukan mereka tidak buat kerja, tetapi tidak mengusahakannya sehingga setiap permasalahan itu selesai.

Katanya, antara aduan dan keluhan penduduk yang diterimanya ialah wakil rakyat di situ yang sudah dua penggal menang di Lembah Pantai hanya datang menabur janji, kemudian hilang.

“Rata-rata penduduk di sini kecewa kerana masalah kesesakan tidak diatasi, masalah banjir termenung di Kampung Pasir pun tidak ada apa-apa tindakan dilakukan.

Seorang penduduk menunjukkan lokasi banjir termenung kepada Dr. Asmah di Kampung Pasir. Lokasi ini dinaiki air sedalam 2 meter dan mengambil masa berminggu untuk surut.

“Lembah Pantai ini umpama Kampung Baru kedua di ibu kota. Penduduknya majoriti Melayu dan tergolong dalam B40.

“Mereka sepatutnya mempunyai wakil rakyat yang betul-betul prihatin, cakna dan ada kesungguhan untuk memajukan kawasan ini, tetapi tidak menjadi kenyataan,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam program walkabout di Kampung Pasir, dekat sini, semalam.

Dr. Asmah adalah Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Parti Putra yang bertanding atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan logo Parti Pejuang.

Menurutnya, sepanjang menyantuni penduduk di sekitar Lembah Pantai, beliau sedih melihat kehidupan mereka yang tidak mendapat pembelaan sepenuhnya.

Lebih lagi katanya, jika banjir ramai di kalangan mereka terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana tidak ada usaha untuk mengatasi masalah itu.

“Di Kampung Pasir umpamanya, ada satu lokasi berlaku banjir termenung sedalam satu hingga 3 meter dan air lambat surut berikutan kedudukannya yang rendah dan air tidak dapat mengalir keluar.

“Masalah ini berlarutan sejak sekian lama, tetapi setiap kali tiba musim pilihan raya, perkara sama dijanjikan oleh penyandang parlimen ini, iaitu akan atasi, akan selesaikan, namun selepas menang, tiada tindakan diambil.

“Sekarang pun mereka menjanjikan perkara yang sama menyebabkan penduduk sudah bosan dan mengharapkan saya untuk membawa masalah ini ke peringkat atas sekiranya diberi mandat nanti,” katanya.

Kata doktor perubatan ini, beliau berada di Lembah Pantai pada PRU15 ini dengan membawa beberapa tawaran untuk rakyat di kawasan itu.

Dr. Asmah turut menyantuni guru sebuah sekolah agama di Lembah Pantai.

Antaranya, memastikan pentadbiran kerajaan yang telus tanpa kerenah birokrasi, memastikan rakyat Lembah Pantai memiliki rumah sendiri atau sewa beli, menyediakan pembangunan tempat letak kenderaan yang lebih sistematik.

Beliau juga membuat tawaran untuk menaiktaraf fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik di Lembah Pantai serta memberi perhatian serius pendidikan untuk warga tempatan di situ.

Selain itu, akan memberi perhatian kepada Orang Kurang Kelainan (OKU), ibu tunggal, penjaja, peniaga perusahaan kecil, pemandu menerusi koridor ekonomi dan sektor pelancongan yang boleh menyumbang pendapatan kepada mereka.

“Saya adalah calon nombor satu di kertas undi pada hari mengundi 19 November ini dan mengharapkan rakyat Lembah Pantai bangkit membuat perubahan untuk menjadikan saya wakil mereka di Parlimen.

“Sudah cukup mereka menderita dan berdepan dengan masalah yang tidak berkesudahan ini dan semua permasalahan ini boleh diselesainya sekiranya mereka mempunyai wakil rakyat yang benar-benar mahu membantu mereka.

“Cukuplah penduduk di sini mempunyai Ahli Parlimen yang hanya pandai berjanji pada musim pilihan raya, tetapi selepas menang, rakyat dilupakan, permasalahan yang diadukan dibakul sampahkan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette