Nur Jazlan Mohamed pada program walkabout di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Masyarakat India dan Cina tidak menunjukkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) secara terbuka, kata calon BN Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata, malah undi BN daripada kedua-dua kaum itu dijangka tidak terjejas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana kini mereka sedar terdapat usaha memainkan emosi membenci BN sebelum ini.

“Saya rasa kali ini masyarakat India begitu juga Cina tidak menunjukkan sokongan mereka secara terbuka.

“Tapi senyap-senyap, mereka faham bahawa Barisan Nasional merupakan parti yang boleh membangunkan negara. Jadi saya berharap kesedaran ini juga akan meluas di kalangan masyarakat Cina dan mereka akan keluar untuk mengundi Barisan Nasional,” katanya.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi BN Johor menyatakan demikian ketika ditemui pada program walkabout di Jalan Tan Hiok Nee, di sini, hari ini.

Pada program tersebut Nur Jazlan bertutur dalam bahasa Mandarin ketika menyantuni masyarakat Cina.

Menurut Nur Jazlan, senario PRU14 dengan sekarang jauh berbeza kerana ketika itu komuniti Cina secara jelas dan terbuka menyatakan mereka tidak menyokong BN.

Malah tambah beliau, keadaan PRU15 tidak sepanas dahulu yang mana ia merupakan kelebihan buat BN dalam menghadapi PRU15.

Nur Jazlan yang pernah menyandang kerusi Parlimen Pulai selama tiga penggal bermula 2004 memberitahu, beliau akan membawa konsep politik matang dalam usaha merampas semula kerusi itu.

Konsep politik dendam dan tidak beretika dalam meraih semula kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) akan ditolak sama sekali, ujarnya.

Nur Jazlan akan berdepan penyandang kerusi Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub dari Pakatan Harapan dan calon Perikatan Nasional, Loh Kah Yong bagi merebut kerusi Parlimen Pulai, 19 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast