Calon Barisan Nasional (BN) P.072 Tapah, Datuk Seri M. Saravanan beramah mesra bersama kanak-kanak orang asli sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Kuala Bot, Tapah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2022.

TAPAH – Menjelang saat-saat getir kempen menjelang hari pengundian pada 19 November ini, pembangkang akan terus bekerja keras mengeluarkan pelbagai fitnah untuk menunjukkan bahawa mereka adalah mangsa penganiayaan oleh Barisan Nasional (BN).

Calon BN Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan berkata, ketika PRU-13 dulu, Pakatan Harapan (PH) yang dapat membayangkan kekalahan memfitnah ‘blackout’ elektrik dan kehadiran pengundi warga Bangladesh.

Yang terbaharu, kata Timbalan Presiden MIC itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tohmahan terhadap anggota tentera mengambil rasuah sebanyak RM300.

“Dulu dakwa BN memanipulasi undi kerana ‘blackout’ tapi bila menang pada 2018, mereka semua diam tidak bising pun,” katanya pada MalaysiaGazette yang mengulas tuduhan yang dibuat oleh Anwar kepada perajurit negara.

Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa ada anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar untuk berbuat demikian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meminta Anwar menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada anggota ATM, kerana menuduh mereka menerima wang.

Mengulas lanjut, Saravanan mendakwa Anwar membuat fitnah ke atas angkatan tentera selepas mendapati sebahagian besar penjawat awam kini sudah kembali menyokong BN.

“Kali ini penjawat awam memang sudah kembali menyokong BN, saya rasa Anwar Ibrahim tahu, lantas bersedia dengan fitnah baharu supaya jika kalah kelak mereka ada alasan,’ katanya ketika ditemui di Kg Orang Asli di Sungai Bot di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast