calon Barisan Nasional P.135 Parlimen Alor Gajah, Shahril Hamdan Suffian pada sidang media selepas mengadakan ceramah suara hati orang muda di Rembia, Alor Gajah, Melaka. Semalam.

ALOR GAJAH – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan menggariskan lima petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai manifestonya.

Menurut Ketua Penerangan UMNO itu, beliau mahu rakyat menilainya dalam tempoh enam bulan hingga lima tahun sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Jelas beliau, kesemua KPI itu meliputi peluang pekerjaan, peningkatan purata pendapatan rakyat, infrastruktur, memperkasa akses kualiti pendidikan serta aspek kebudayaan dan adat resam di daerah itu.

“Saya mencadangkan lima KPI ini diletakkan di bahu saya iaitu mampukah dalam tempoh menjadi Ahli Parlimen kita menambah peluang pekerjaan dan kedua meningkatkan pendapatan purata penduduk Alor Gajah.

“KPI ketiga adalah kemampuan kita menaiktaraf infrastruktur selain memperkasakan akses dan kualiti pendidikan serta KPI kelima adakah saya mampu menaikkan martabat kebudayaan warisan dan adat semua lapisan masyarakat di Alor Gajah,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Program Suara Hati Orang Muda Alor Gajah, Rembia, di sini lewat malam ini.

Mengulas lanjut Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, beliau juga bercadang melaksanakan sesi dialog awam setiap dua atau tiga bulan sekiranya mendapat mandat rakyat 19 November ini.

“Saya bercadang untuk mengadakan sesi townhall setiap dua atau tiga bulan sekali, sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen yang mana saya akan bentangkan apa yang saya berjaya tunaikan, apa yang saya gagal kepada mereka sehinggalah sesuatu masalah itu selesai,” katanya.

Pada PRU kali ini, Parlimen Alor Gajah bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara Shahril, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dari Perikatan Nasional (PN), Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang- Berjasa). – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast