Pokok yang menghempap mangsa ketika tinjauan di lokasi kejadian pokok tumbang yang mengorbankan seorang bayi berusia 15 bulan di Pantai Kundor, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 13 November 2022.

MELAKA – Kira-kira 15 daripada hampir 300 batang pokok ru sepanjang 2.5 kilometer di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, akan ditebang secara berperingkat sehingga Rabu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, langkah drastik itu diambil susulan kejadian pokok tumbang yang mengorbankan seorang bayi lelaki berusia 15 bulan semalam.

Menurutnya, kejadian itu adalah yang pertama berlaku di pantai peranginan yang terkenal sebagai lokasi perkhemahan dan perkhelahan keluarga khususnya pelancong luar.

“Susulan kejadian petang semalam, selepas berbincang dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu, kita melihat perlunya kira-kira 15 daripada 300 pokok ru di dua kawasan tumpuan di sini yang berusia lebih 23 tahun ditebang.

“Malam tadi, kita dah kenal pasti 15 batang pokok ru yang condong dan berisiko mendatangkan bahaya kepada pengunjung ditebang secara berperingkat sehingga Rabu ini,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi bercakap pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian pokok tumbang yang mengorbankan seorang bayi berusia 15 bulan di Pantai Kundor, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 13 November 2022.

 

Semalam, media melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu seorang bayi, Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan berusia 15 bulan dan ibunya cedera dihempap sebatang pokok ru yang tumbang ketika sedang berkelah bersama dua lagi anaknya dan suami di pantai berkenaan.

Selepas enam jam bertarung nyawa, bayi berkenaan meninggal dunia di Hospital Melaka jam kira-kira jam 1 pagi tadi.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Kajang hari ini berhampiran dengan kediaman keluarga terbabit yang berasal dari Selangor

Mengulas lanjut, Tuminah berkata, beliau turut bersimpati kepada keluarga mangsa dan telah membantu memberikan bantuan sewajarnya dalam kejadian itu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sebelum ini pun memang kita ada melakukan operasi menebang dan mencantas pokok-pokok berisiko di sepanjang 2.5 kilometer pantai ini namun kejadian pertama kali berlaku petang semalam itu memang di luar jangka.

“Bagi menggantikan pokok-pokok yang ditebang untuk jangka panjang mungkin kita akan cadangkan tanam pokok ketapang yang lebih kuat dan rendang berbanding pokok ru yang tinggi dan tidak mempunyai akar tunjang,” katanya. – MalaysiaGazette