KULAI – Calon Barisan Nasional (BN) Kulai Chua Jian Boon merasakan pihak lawan mula tercabar dengan kehadirannya sebagai calon di kawasan itu apabila papan iklan serta beberapa poster beliau disimbah cat.
Menerusi video yang dikongsikan Jian Boon kepada Malaysia Gazette, beberapa poster beliau turut dicabut.
Calon muda berusia 29 tahun itu mengaku kecewa dengan sikap tidak matang yang dipamerkan pihak lawan.
Katanya ketika kejadian beliau sedang menghadiri sesi ceramah meganya bersama penduduk Kulai, petang semalam.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh pasukan saya jam 9 pagi tadi.
“Saya rasa mereka mula sakit hati kerana yang hadir ceramah saya 200 orang walaupun terpaksa berpayung dalam hujan.
“Jadi dengan insiden ini saya andaikan mereka (pihak lawan) mula risau dengan kehadiran anak muda seperti saya.
“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, dari hari penamaan calon saya perasan mereka sanggup buat pelbagai taktik kotor seperti memfitnah saya memberi duit RM200 kalau pakai baju saya.
“Selain itu ada yang mengata siapa undi saya akan terima wang RM50 atau RM150 dan pelbagai lagi,” katanya digubungi MG sebentar tadi.
Beliau berkata laporan polis telah dibuat dan ini merupakan laporan kelima yang dilakukan pihaknya.
Tambah Jian Boon, dengan tempoh kempen hanya berbaki beberapa hari lagi, semua pihak seharusnya mengamalkan politik matang.
Perkara itu penting dalam memastikan segala proses PRU termasuk kempen berjalan lancar.
Bagaimanapun, pemuda itu menganggap apa yang berlaku adalah cabaran dalam memulakan karier politik beliau.
“Ini adalah cabaran terbesar tetapi saya harap lawanlah dengan cara yang betul dan matang.
“Saya tahu susah untuk menang di Kulai ini tetapi sebagai orang muda saya tetap bersemangat untuk berusaha sehabis baik untuk PRU-15 ini.
Jian Boon, yang juga Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaya (MCA) mempunyai pendidikan tinggi selain terlibat dalam dunia politik sejak berusia 23 tahun lagi.- MalaysiaGazette
Pencalonan Jian Boon mewakili BN mendapat persetujuan ramai pihak terutamanya penduduk di Kulai, Johor dan menyifatkan pemilihan beliau sebagai pilihan tepat untuk rakyat.
Bagaimanapun, Jian Boon berdepan tugas sukar kerana bersaing dengan Timbalan Pengerusi DAP Johor yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan pada era Pakatan Harapan (PH), Teo Nie Ching dan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Tan Chin Hock.-MalaysiaGazette