Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat ruang gerai jualan pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Bera di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

BERA – Perdana Menteri membayangkan suatu hari nanti penduduk kampung menceburi pelbagai bidang ekonomi dan bukan hanya aktiviti tradisional.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjaya keusahawanan perlu menjadi pilihan utama mereka.

“Saya sering membayangkan penduduk kampung kita menceburi pelbagai bidang ekonomi yang bukan hanya aktiviti ekonomi tradisional seperti bertani dan menoreh getah atau nelayan kecil bagi yang tinggal di pinggir pantai.

“Keusahawanan perlu menjadi kerjaya pilihan utama dalam
bidang ekonomi berimpak tinggi yang akan menjadi sumber
pendapatan berterusan dan seterusnya memberikan manfaat yang lebih meluas kepada penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Kerayong hari ini.

Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Bera di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

Menurut Ismail Sabri, selain pembangunan infrastruktur dan pendidikan, kerajaan juga memberikan tumpuan kepada satu lagi elemen penting iaitu keusahawanan sebagai pemacu pembangunan ekonomi termasuk dalam kalangan penduduk kampung.

Bagi memastikan pembangunan luar bandar seiring dengan dasar yang ditetapkan, kerajaan memperuntukkan lebih RM10.93 bilion dalam Bajet 2023, iaitu empat peratus lebih tinggi berbanding peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada tahun sebelumnya.

“Ini bagi memastikan perancangan dan strategi bersepadu bagi pembangunan luar bandar diteruskan dan dapat memberikan manfaat kepada lebih 8.1 juta penduduk luar bandar,” kata Ismail Sabri lagi.

Antara perkara yang telah dibentang dalam Bajet 2023 bagi
pembangunan luar bandar seperti RM2.55 bilion bagi menambah baik kemudahan infrastruktur luar bandar, peruntukan bagi bina baharu dan baik pulih rumah akan ditingkatkan daripada RM361 juta kepada RM460 juta.

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan peruntukan sebanyak RM472 juta, Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air
Alternatif berjumlah RM381 juta, RM123 juta bagi Projek Lampu Jalan Kampung melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan.

“Ini sudah pasti akan dapat dicapai jika kerajaan yang stabil
dapat dibentuk melalui pilihan Keluarga Malaysia di dalam
Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November nanti,” katanya.- MalaysiaGazette