BENTONG – Kesetiaan para pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan punca persaingan sengit kerusi Parlimen Bentong.
Berbaki tujuh hari sebelum hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan, Young Syefura Othman mengakui tiada satu gabungan parti yang dilihat mempunyai pengaruh lebih dominan.
“Saya rasa pencalonan Wong Tack ada memberi kesan dalam persaingan di sini tapi ia tidak terlalu ketara. Tapi tetap terkilanlah, jika contohnya 1,000 undi yang sepatutnya saya boleh peroleh tapi dimenangi Wong Tack,” ulasnya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Kampung Lengkong selepas menyantuni masyarakat di sini hari ini.
Wong Tack merupakan ahli DAP yang digugurkan sebagai calon namun bertanding sebagai calon bebas.
Beliau yang juga dikenali dengan gelaran Rara berkata, pihaknya masih sukar membaca kecenderungan para pengundi kerana dalam kalangan anak muda ada juga cenderung memilih calon yang muda seperti dirinya.
“Anak muda memang hendak muka baharu. Tapi kita tak boleh ketepikan Perikatan Nasional (PN).
“Di mana persaingan saya bukan setakat Tan Sri Liow Tiong Lai (calon BN) tapi juga Datuk Roslan daripada Perikatan Nasional kerana pengundi Pas juga ada pengundi setia selain pengundi UMNO,” jelas Rara.
Buat masa ini, beliau hanya mahu bekerja lebih keras dan menggunakan masa kempen yang berbaki untuk terus berjumpa dan meyakinkan pengundi.
Rara menjadi calon PH bagi kerusi Bentong kali ini menggantikan penyandangnya Wong Tack.
Kerusi Parlimen Bentong menjadi salah satu kerusi panas di Pahang apabila kemunculan bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai kali ini yang cuba merampas kembali kerusi itu daripada DAP selain turut dicabar Datuk Roslan Hassan (PN) dan seorang lagi calon Bebas. – MalaysiaGazette