PASIR GUDANG –“Saya bukan pendatang. Sama ada orang Kedah, Kuala Lumpur atau Johor, kita semua rakyat Malaysia, makan makanan yang sama,” kata calon Barisan Nasional (BN) Tebrau, Nicole Wong.
Ketua Pemuda MCA itu juga meminta semua pihak menghormati proses pilihan raya dan undang-undang negara dengan tidak menggunakan provokasi atau kata-kata negatif.
Namun begitu,Nicole berkata, beliau tidak ambil pusing terhadap tindakan pihak tidak bertanggung jawab yang melabelnya dengan pelbagai panggilan negatif serta mencemari bahan kempen.
Ini termasuk memasang kain rentang dengan kata-kata sindiran pada poster beliau.
“Saya lihat politik kotor seumpama ini hanya merumitkan keadaan dan akan menganggu perjalanan kempen saya kerana pasukan saya perlu pergi ke semua lokasi terlibat untuk menurunkan kain rentang berkenaan.
“Saya akui dua hari pertama berkempen saya memang terasa seperti orang luar namun selepas hari ketiga, saya diterima baik dalam kalangan penduduk setempat termasuk golongan muda.
“Saya anggap diri saya orang tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, di Taman Kota Masai, di sini hari ini.