Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan perjalanan jentera parti di setiap kawasan Parlimen dan negeri yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Katanya, sejak hari penamaan calon 5 November lalu, sehingga hari ini kempen jentera parti sama ada di peringkat negeri, Pusat Daerah Mengundi (PDM) mahupun cawangan berjalan lancar.

“Keseluruhannya berjalan lancar sungguh pun terdapat beberapa kekangan kerana berlaku perubahan calon di kawasan tertentu, tetapi dapat kami atasi.

“Mereka menerima hakikat itu dan telah bergerak sebagai ahli parti, sebagai orang UMNO dan sebagai orang BN.

“Mereka sanggup untuk mengenepikan sebarang perbezaan pendapat atau rasa kecil hati dan mereka bergerak dalam jentera dengan satu hati,” katanya menerusi rakaman yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Kata Ahmad Zahid, bukan itu saja, mereka juga diberi kepercayaan untuk mengetuai jentera dan ada yang menjadi pencadang serta penyokong kepada calon, biarpun sepatutnya mereka merasakan kerusi itu ditandinginya.

Katanya, semangat inilah yang parti perlukan dan peluang untuk mereka masih ada terutama di negeri yang belum dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Maka, peluang ini harus direbut dengan memberikan kemenangan kepada calon Parlimen yang bertanding di kawasan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette