LIPIS – Isu pendidikan dalam kalangan murid Orang Asli terus menjadi agenda utama kerajaan negeri Pahang dalam memartabatkan golongan pribumi itu dallam budaya menuntut ilmu.
Menteri Besar Pahang, Datul Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kini lembaran luas terbuka kepada pelajar masyarakat Orang Asli dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke Tingkatan 5 ekoran Sekolah Model Khas Komprehensif (Sekolah K9) akan diperluaskan skopnya.
Jelasnya penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai itu, pelajar Sekolah K9 sehingga ke tingkatan lima berbanding hanya sampai tingkatan 3 sahaja sebelum ini.
“Kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan sepanjang mentadbir, kerajaan negeri saya memohon untuk mempertingkatkan pendidikan mereka dari K9 supaya dapat tamat tingkatan 5 dan kini sudah diluluskan.
“Isu pendidikan supaya diadakan sekolah menengah telah dluluskan oleh JAKOA (Jabatan Kebajikan Orang Asli) dan Kementerian Pendidikan, insya Allah perlu melalui beberapa proses untuk merealisasikannya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Wan Rosdy dan juga penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor bertekad untuk terus membela nasib komuniti Orang Asli dan memastikan mereka tidak tercicir.
“Sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, banyak kemajuan yang dibawa Barisan Nasional kepada masyarakat Orang Asli seperti kemudahan jalan raya air, elektrik, dan air,” katanya.
Terdahulu menerusi model K9, murid Orang Asli perlu menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pembelajaran bermula tahun satu hingga tingkatan tiga dengan asrama harian disediakan bagi mereka yang tinggal jauh.
Antara Sekolah K9 di Semenanjung ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, Lipis dan SK Paloh Inai, Pekan di Pahang; SK Pos Kemar, Gerik, Perak; SK Bukit Kemandol, Kuala Langat, Selangor dan SK Seri Sedohok, Kluang, Johor.
Di Sarawak pula ialah SK Long Bedian, SK Long Lamo, SK Keyok, SK Long Jakitan, SK Long Lamin serta SK Lusong Laku manakala SK Pensiangan, SK Bawang, SK Sabur, SK Buis dan SK Menanam di Sabah. – MalaysiaGazette