KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) yakin parti gabungan itu akan mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, kata Pengarah Plihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan penuh yakin.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata keyakinan itu bersandarkan data pengundi serta perkembangan penerimaan pengundi terhadap BN yang diperoleh daripada Pengerusi BN negeri.
“Semua data (pengundi) kita sudah ada dan ada ‘headcount’ yang tepat. Jadi tugas jentera BN adalah keluarkan pengundi yang telah kita kenal pasti bersama kita (BN) pada 19 Nov ini supaya mereka membuat keputusan yang mereka pilih.
“Kalau tugas ini dapat dilaksanakan dengan lancar oleh jentera BN, saya pasti we (BN) can cross the bridge.
“Jadi BN akan membentuk kerajaan pada malam 19 November ini atau pun seawal pagi Ahad,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang media BN Comms di sini hari ini.
Mengambil contoh kejayaan BN menerusi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, beliau berharap momentum tersebut dapat dikekalkan pada PRU15 dengan usaha keras daripada jentera BN.
Pada masa sama, Mohamad turut yakin BN akan mengekalkan Kerajaan Perlis kerana hanya memerlukan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri untuk menang.
Namun beliau mengakui Perak berdepan senario 50:50 untuk menjadi Kerajaan Negeri dan kerja keras perlu ditingkatkan jentera parti pada minggu terakhir kempen ini.