Ahmad Zahid Hamidi.-Foto MOHD ADZLAN, 13 NOVEMBER 2022.

IPOH – Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan pengeluaran wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam manifesto parti itu kerana tidak mahu memperalatkan wang rakyat untuk memancing undi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, banyak pihak yang bertanya mengapa BN tidak membuat tawaran tersebut seperti yang dilakukan oleh Perikatan Nasional.

“Bagi BN sangat tidak jujur memperalat wang simpanan rakyat sebagai modal dan perkakas untuk memikat undi.

“Jika ada keperluan untuk satu lagi pengeluaran KWSP di masa depan perlulah atas sebab yang jujur.

“BN sebaliknya tampil dengan tawaran yang jauh lebih rasional serta berkesan untuk membantu rakyat,” kata calon BN bagi Parlimen Bagan Serai itu.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, manifesto BN menerusi Pelan Amal dan Usaha (PADU) menawarkan skim “Assistive Basic Income”.

Katanya, skim itu bersifat jangka masa panjang berbanding pemberian satu lagi pengeluaran ‘one-off’ KWSP.

Menerusi skim itu kerajaan BN akan mengkreditkan kepada isi rumah yang pendapatan bawah RM2,208.

“Sebagai contoh keluarga dengan pendapatan minimum RM1,500 diberi ‘top up’ bulanan oleh kerajaan BN.

“Top up RM708 sebulan supaya setiap isi rumah mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

“Ini bermakna insiden kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Beliau menegaskan skim bantuan pendapatan asas itu suatu langkah yang menyeluruh dan strategik untuk membasmi kemiskinan mutlak.

Ia juga langkah yang progresif oleh BN untuk bantu rakyat tatkala dunia diramal berdepan kemelesetan global.

“Ya memang benar bahawa BN pernah mendesak rakyat dibenar mengeluarkan wang KWSP sebelum ini namun ia adalah pada waktu mendesak.

“Sewaktu rakyat hilang pekerjaan dan sumber pendapatan akibat PKP yang paling lama dalam dunia oleh kerajaan PN.

“Semasa rakyat terpaksa mengangkat `bendera putih’ akibat pentadbiran gagal Perdana Menteri Abah 17 bulan,” kata Ahmad Zahid.

Beliau sekali lagi menegaskan, BN tidak tergamak memancing undi rakyat dengan memperalatkan wang mereka sendiri.

Ahmad Zahid berkata, satu lagi pengeluaran KWSP hanya bersifat ‘one-off’ manakala “Assistive Basic Income” adalah bersifat kesejahteraan berpanjangan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast