Rositah Amran.

TAPAH – Kebanyakan orang asli di Sungai Bot, dekat sini berikrar akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) sampai bila-bila kerana kebajikan mereka sudah terjaga sejak 40 tahun lalu.

Kru MalaysiaGazette sempat merakam detik-detik emosi seorang wanita orang asli di Kampung Orang Asli Batu 8, Sungai Bot yang menangis kerana kejadian kerajaan bertukar.

Rositah Amran,40, hampir hilang kata-kata memberitahu, pertukaran kerajaan telah menyebabkan golongan itu terpinggir seketika tanpa bantuan asas.

Tidak seperti wakil rakyat lain, katanya, pemimpin  BN sentiasa menuruti kehendak dan keperluan mereka dari semasa ke semasa.

Suasana kawasan penempatan orang asli di Kuala Bot, Tapah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2022.

“Macam anda tengok dewan yang  sedang diubah suai ini akan ditambah baik untuk program-program kami lepas ini. Semua benda mereka buat.

”Sepanjang 40 tahun ini, rasanya kami banyak menerima bantuan, sumbangan daripada BN. Dari zaman nenek moyang memang sokong dacing sahaja. Kami sokong kerana BN bantu kami.

“Memang banyak parti-parti lain tapi  buat masa ini, saya dan keluarga, penduduk kampung semuanya sokong BN.

“Janganlah tukar tukar lagi kerajaan (menangis). Kami hanya mahu sokong BN sahaja. Selama BN pegang, kami hidup dengan baik tapi lepas parti lain pegang,” katanya.

Tambahnya lagi, jika BN diberikan mandat lagi, Rositah berharap isu pengangkutan seperti van untuk membawa murid-murid ke sekolah dapat disediakan.

“Bas sekolah atau van, mana yang baik. Sini ramai kanak-kanak, jika boleh kami juga mahu padang atau perpustakaan bagi mereka isi masa lapang. Lain-lain keperluan asas semua kita ada,” ujarnya.

Andak Bahtit,

Dalam pada itu kata Andak Bahtit, 44, banyak kemudahan asas telah disediakan oleh  wakil rakyat BN dan hanya perlu penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Saya rasa jika BN menang, kami memerlukan pembangunan, ramai masih memerlukan rumah baharu terutamanya ibu tunggal seperti saya. Jalan raya juga perlu diberikan fokus.

“Saya hendak wakil rakyat yang buat kerja dan prihatin tentang kami. Undilah wakil rakyat yang bertanggungjawab. Jangan yang hanya datang tunjuk muka bila masa-masa pilihan raya sahaja, kemudian hilang.

“Hanya dari parti BN sahaja rajin jenguk kita, bantu kita selalu. Buat macam-macam untuk kita, yang lain hilang lepas minta undi,” dedahnya lagi.

Leene Basinar

Bagi Lenee Basinar, 38, keadaan masyarakat Orang Asli kini lebih baik berbanding dahulu memandangkan wakil-wakil rakyat dalam kalangan BN sentiasa prihatin dan merealisasikan keperluan dan kehendak golongan itu.

“Saya tidak banyak permintaan kerana banyak juga yang telah dilaksanakan oleh wakil rakyat BN selama ini. Kita sudah ada klinik sendiri, ada dewan dan kemudahan lain. Perpustakaan dalam proses. Kita memang tidak berabai.

“Cuma harap dapat lebih tambah baik seperti rumah, keluarga masing-masing sudah bertambah dan keadaan agak sempit. Jika dapat tanah baharu, boleh buat rumah baharu, padang dan sebagainya. Itu sahaja,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast