Bendera parti politik parti MUDA dan Barisan Nasional yang berkibar di sekitar kawasan jeti nelayan sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Parit Jawa, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2022.

BAHANG Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 makin terasa. Rakyat Malaysia bakal berhadapan dengan satu lagi pemilihan pucuk pimpinan negara. Ada yang sudah membuat keputusan masing-masing, ada yang masih lagi tidak pasti, malah ada juga yang memutuskan untuk tidak memihak kepada mana-mana pihak atas pelbagai sebab. Pilihanraya yang bakal diadakan dalam lebih kurang dua minggu lagi bakal menentukan hala tuju masa depan negara.

Buat pertama kalinya, pengundi muda yang berusia 18 tahun yang lahir antara 1 Januari 2004 sehingga 31 Ogos 2004 dan ke atas akan layak mengundi. Masih ramai yang tercari-cari siapakah yang patut diundi. Tidak dinafikan ramai juga yang masih tidak ambil cakna dengan kepentingan mengundi ini sehingga ada yang memilih untuk tidak keluar mengundi. Dari segi parti politik juga, pelbagai jenis parti politik dan gabungan beberapa buah parti yang bakal mempertaruhkan calon-calon pilihan mereka. Ada yang telah lama memerintah namun apabila dikaji, terlalu banyak kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dilibatkan dengan pemimpin-pemimpin mereka.

Ada juga parti politik yang menjanjikan pelbagai manifesto sebelum pilihan raya, namun gagal untuk melaksanakannya atas pelbagai alasan. Ada juga parti politik yang pemimpinnya tidak terlibat dengan mana-mana isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa, namun kurang mendapat sambutan atas sebab-sebab yang berbeza. Jadi, apakah pilihan yang masih ada? Di saat ekonomi yang semakin menyesakkan, di saat musim banjir yang dijangka melanda, di saat masih ramai di antara rakyat yang menggapai-gapai kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 masih dalam proses
pemulihan.

Politik merupakan salah satu cabang yang amat penting dalam kehidupan. Kedudukan politik yang tidak stabil dan tidak bersistematik akan menyebabkan negara huru-hara dan kacau bilau. Kuasa politik juga amat penting bagi menjaga institusi agama Islam dan meneruskan usaha dakwah Islamiah. Politik dan dakwah turut menjadi intipati penting dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat. Politik bukan sekadar pilihan raya atau membuang undi. Politik dalam konteks kehidupan merangkumi lebih daripada itu dan ia amat berkait rapat dengan kehidupan kita.

Agama Islam adalah agama yang syumul dan lengkap dengan semua elemen dalam kehidupan termasuklah undang-undang, ekonomi, pendidikan dan pelbagai lagi, tidak terhad kepada akidah dan aspek ketuhanan semata-mata. Ia tidak dapat dipisahkan dengan urusan dunia. Dalam Islam, tiada organisasi yang bersifat agama semata-mata atau keduniaan semata-mata. Tiada yang ditadbir secara berpisah.

Agama Islam merupakan cara hidup yang lengkap kerana ia bersifat universal. Pemimpin yang dipilih daripada kalangan yang mengamalkan agama dengan sebenar-benarnya tidak akan terpalit dengan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, ketidak adilan dan pelbagai lagi anasir negatif yang lain. Bahkan sekiranya seseorang pemimpin itu berpegang teguh dengan ajaran Islam, beliau pasti yakin bahawa setiap keputusannya, setiap langkah yang diambil dan setiap nafas yang dihela tanpa memikirkan kesan dan akibat terhadap rakyat yang dipimpin akan dihitung oleh Allah SWT.

Kepimpinan Rasulullah SAW sewaktu menjadi pemimpin di Madinah al-Munawwarah dengan menegakkan prinsip pemerintahan Islam telah menjadi rujukan penting dalam dunia sains politik. Kepimpinan baginda telah membentuk negara Islam pertama tanpa pertumpahan darah dan telah meletakkan dasar-dasar yang khusus bagi melaksanakan perundangan Islam yang lebih komprehensif. Penduduk Madinah yang sebelum ini berada di dalam keadaan kucar-kacir, sistem kekeluargaan yang huru-hara, pertumpahan darah yang sering berlaku dek perbalahan pelbagai puak yang mendiami Madinah telah berakhir setelah baginda berhijrah ke sana.

Pentadbiran baginda meliputi hal ehwal keduniaan dan kehidupan dunia dan akhirat termasuk hal masyarakat, rumah tangga, hal ehwal antarabangsa dan ekonomi perdagangan antarabangsa. Baginda mengamalkan sistem syura dan mendengar pendapat daripada pemimpin-pemimpin kabilah yang lain. Malah baginda turut mendengar permasalahan dari kaum wanita mengikut landasan yang ditetapkan. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah menegaskan bahawa setiap orang adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya.

Kepimpinan tidak dapat dipisahkan dengan politik atau kuasa kerana dengan gabungan kedua-dua perkara ini akan menghasilkan natijah yang baik dan lebih sempurna jika dibandingkan dengan kepimpinan semata-mata tanpa wujud kekuasaan lebih-lebih lagi pada zaman moden ini. Tokoh mujadid abad ke-13 Masihi, Ibn Taimiyyah (1969) ada menyatakan yang bermaksud, “Apabila diasingkan kuasa dari agama atau agama dari kuasa maka akan hancur binasalah urusan hidup mereka”.

Oleh itu, amat penting bagi setiap ahli masyarakat untuk mengambil tahu tentang sistem politik dan pentadbiran negara kerana kuasa boleh menentukan naik turunnya sesebuah institusi kenegaraan. Tanpa pemahaman yang jitu, seseorang itu mudah untuk mengikut emosi dan terpengaruh dengan dakyah, manifesto dan fitnah yang berleluasa terutama di dalam media sosial. Turunlah mengundi, kerana setiap undi yang diberikan kepada pemimpin yang adil dan berintegriti mampu menjamin kemandirian sesebuah negara. Turunlah mengundi, kerana setiap undi mampu menentukan hala tuju kehidupan sesebuah masyarakat sama ada dalam atau luar bandar. Turunlah mengundi, kerana pemilihan pucuk pimpinan negara yang kita diami berada dalam tangan kita.

Oleh: Prof Madya Dr Aspalilah Alias
Universiti Sains Islam Malaysia &

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha WARAK Malaysia