KUALA LUMPUR – Para pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dapat menarik nafas lega hari ini selepas tren berkenaan kembali beroperasi hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di sepanjang 16 stesen yang ditutup hingga ke Stesen Ampang Park sebelum ini mendapati, jumlah orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu mengalami penurunan.
Tidak seperti kebiasaan, waktu puncak antara jam 7 hingga 8.30 pagi kali ini kelihatan lebih lengang di pintu masuk stesen termasuk tidak perlu berhimpit di dalam tren.
Pekerja swasta, Nur Atikah Suhaila, 27, berkata, ramai rakan pejabatnya masih bekerja dari rumah memandangkan majikan memberi kebenaran kerana memahami gangguan teknikal yang berlaku.
“Hari ini saya ada mesyuarat penting, jadi kena pergi ke pejabat. Kali ini nampak tidak ramai macam biasa, kawan saya pun ramai masih work from home, jadi mungkin itu sebab agak lengang hari ini,” ujarnya yang transit ke Stesen LRT Pasar Seni.
Seorang warga emas yang ingin dikenali sebagai Chia Xuan berkata, dia hanya tahu pembukaan semula diawalkan setelah mendapat makluman daripada kenalannya.
“Saya mahu jumpa kawan lama, memang rancang guna Grab hari ini tapi dia beritahu tren laluan ini sudah back in operation, sebelum ini saya tak dapat info,” ujar wanita berusia 58 tahun itu.
Terdahulu, LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi bermula jam 6 pagi tadi iaitu dua hari lebih awal daripada jadual pembukaan.
Dalam pada itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) turut mengumumkan pemberian tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT laluan berkenaan. – MalaysiaGazette