BALIK PULAU – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Balik Pulau Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah menyifatkan pertembungan enam penjuru di kawasan itu hanya agenda parti lawan untuk memecahkan undi orang Melayu.
Jelas beliau, ia susulan beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) keluar daripada gabungan itu hanya selepas kehilangan kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu.
Bagaimanapun, kata Shah Headan, tidak mustahil untuk mereka bergabung semula sebagai PH2.0 selepas pilihan raya nanti kerana pertembungan sebenar di kawasan Parlimen ini hanya membabitkan BN dengan PH sahaja.
“Dulu semua gabung (PH) untuk dapatkan undi yang banyak lawan BN, lani (ketika ini) depa buat kira-kira untuk pecahkan undi orang Melayu bagi memastikan PH juga mendapat undi solid satu kaum saja.
“Kenapa saya cakap macam ni? Saya tengok di Balik Pulau ni PH, Pejuang, Bersatu semua hentam BN saja.
“Patut belasah la rakan lama depa. Tak ada pun mana-mana bekas gabungan itu hentam PH. Bagi saya depa baru cerai talak satu jadi boleh rujuk lagi. Ini secara tidak langsung tak mustahil nanti mereka akan muncul selaku gabungan PH2.0,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Shah Headan mengadakan perjumpaan dengan veteran UMNO di pejabat UMNO Balik Pulau.
Dalam perkembangan sama, Shah Headan meminta pengundi Cina mengamalkan sikap seimbang dalam memilih parti memerintah negara.
“PH ini bagi saya nasib baik, orang Cina percaya dia dan dia pun yakin akan dapat 30 peratus undi orang Cina untuk menang.
“Tapi saya nak minta pengundi Cina untuk buat semakan seimbangan dalam isu politik, jangan beri kemenangan mudah buat PH. Beri peluang buat BN juga untuk buktikan kepimpinan yang stabil dan makmur.
“Bagi pengundi Melayu pula, saya minta sangat jangan pecahkan undi kerana ia akan memberi impak besar kepada negara selain menjadi ruang untuk parti lawan memang mudah,” ujar beliau.
Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Shah Headan, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (Perikatan Nasional), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan) dan Fadzli Mohamad (Parti Pejuang Tanahair), Datuk Seri Johnny Chng Ewe Gee (Bebas) selain Datuk Seri Sabaruddin Ahmad (Bebas). – MalaysiaGazette