Kibaran perang bendera parti menghiasi di sekitar jalan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Simpang Renggam, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2022.

SELEPAS lebih seminggu kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), perkembangan mengenai sokongan pengundi di Johor untuk membuat pilihan pada 19 November ini masih sukar diramal.

Ini kerana, gelombang politik di negeri ini tidak sama alirannya seperti tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Meskipun, parti-parti politik mengemukakan kajian masing-masing, namun pengundi di kebanyakan tempat cukup berhati-hati dalam membuat pilihan pada PRU kali ini.

Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette, masih ramai yang bersikap “acuh tidak acuh” terhadap perkembangan politik tanah air yang bagi mereka hanya menguntungkan sesetengah pihak.

Buktinya, di warung-warung kopi mahupun di mana-mana tempat terbuka, orang ramai dilihat kurang membicarakan mengenai politik semasa dan jika perkara itu dijadikan topik perbualan bunyinya agak negatif.

Pernah terdengar ayat yang keluar dari mulut sekumpulan warga emas apabila mengatakan hanya membuang masa mendengar kempen dari ceramah politik kerana beranggapan yang untung hanya dalam kalangan orang politik itu sahaja.

Malah, ada juga yang berkata, malas untuk keluar mengundi dan tidak kisah apa yang berlaku pada masa hadapan.

Tidak kurang juga kedengaran cakap-cakap di merata tempat apabila ada yang mengatakan orang politik itu sama sahaja perangainya.

Mereka berkata seperti itu selepas berpandangan tidak kira siapa yang menang nasib mereka tetap sama ekoran akan wujud pelbagai polisi baharu yang dibuat hingga akhirnya mereka perlu membayar pelbagai jenis cukai menjadikan hidup semakin tertekan.

Pemimpin parti-parti politik pula meletakkan keyakinan terhadap sasaran untuk menang dengan meletakkan kemenangan yang boleh dicapai di kawasan-kawasan tertentu berdasarkan kajian yang dibuat oleh mereka di lapangan.

Tidak kira sama ada parti Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik (MUDA) mahupun Barisan Nasional (BN) masing-masing dilihat berada pada kedudukan tidak selesa.

Perkara ini mungkin disebabkan andaian yang dibuat oleh kebanyakan masyarakat dan fenomena lebih buruk boleh berlaku jika pengundi membuat keputusan “tunggu dan lihat” tanpa ambil peduli akan nasib mereka pada masa akan datang.

Mungkin juga persepsi seperti itu wujud kesan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru sahaja berlangsung pada Mac lalu.

Pada sesi ceramah pula kebanyakkan tempat duduk yang disediakan hanya dipenuhi oleh jentera parti yang turut membantu kempen calon dan bukannya penduduk setempat.

Pernah beberapa hari lalu ketika melakukan tugasan, MalaysiaGazette menemui kumpulan sama hadir pada satu program ceramah parti politik yang diadakan pada sebelah petang namun, kumpulan sama turut memenuhi kerusi yang disediakan pada sesi ceramah pada sebelah malam pula.

Jarak dari ceramah yang diadakan pada sebelah petang itu agak jauh dengan ceramah pada sebelah malam kerana ia melepasi kawasan parlimen yang lain.

Perkara itu mungkin terjadi disebabkan mahu menunjukkan kepada pengundi di kawasan berkenaan bahawa rakyat mahukan kerajaan yang dipimpian oleh pemimpin dari parti mereka.

Ataupun, kehadiran mereka itu tidak mahu menampakkan parti mereka tidak diterima atau juga tidak mahu pemimpin mereka itu mendapat malu sekiranya kerusi kosong lebih banyak daripada jumlah kehadiran.

Apa pun perlu ada pihak bangkit untuk memperbetulkan keadaan dalam tempoh yang berbaki tidak sampai seminggu ini supaya demokrasi dapat dilakukan dengan kaedah yang betul.

Justeru, pihak-pihak yang berkenaan perlu memainkan peranan bagi menyedarkan orang ramai mengenai perkara itu kerana membuat pilihan sebagai seorang pemilih boleh menjadi penentu kepada masa depan mereka dan keluarga mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast